LAWATAN KE FPV UPM BERI PENDEDAHAN BIDANG VETERINAR KEPADA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SHING CHUNG
SERDANG, 4 September – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan sambil belajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Shing Chung, Perak pada 2 September 2026. Lawatan tersebut melibatkan seramai 31 orang pelajar Tingkatan 6 bersama empat orang guru pengiring yang berpeluang mengenali dengan lebih dekat persekitaran serta bidang pengajian di FPV.
Lawatan tersebut menjadi platform kepada para pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat program pengajian, kemudahan serta bidang yang ditawarkan di FPV, di samping mendapatkan gambaran mengenai suasana pembelajaran di peringkat universiti. Penerangan berkaitan FPV telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Nurul Izzati Uda Zahli, yang turut memberikan gambaran kepada para pelajar mengenai bidang pengajian dan peluang kerjaya dalam bidang perubatan veterinar.
Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mengunjungi beberapa fasiliti utama FPV termasuk Perpustakaan Perubatan Veterinar, Makmal Mikroskop dan Makmal Parasitologi. Di Makmal Mikroskop, YBrs. Dr. Mohd Akmal Mohd Noor memberikan penerangan kepada para pelajar berkaitan pemerhatian sampel serta struktur sel dan tisu yang dapat dilihat melalui mikroskop. Penerangan tersebut memberikan gambaran lebih jelas kepada para pelajar mengenai proses pemerhatian dan kepentingannya dalam bidang perubatan veterinar.
Menariknya, para pelajar turut berkesempatan mengunjungi Muzium Anatomi Haiwan yang memberi pendedahan berkaitan anatomi dan struktur tubuh haiwan. Pengalaman tersebut bukan sahaja menambah pengetahuan para pelajar, malah membuka ruang kepada mereka untuk melihat bagaimana ilmu yang dipelajari dalam bidang veterinar diaplikasikan dalam persekitaran sebenar.
Program lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata antara pihak FPV dan rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Shing Chung. Pendedahan yang diperoleh sepanjang lawatan diharap dapat membuka perspektif baharu kepada para pelajar mengenai bidang perubatan veterinar serta memberi gambaran yang lebih jelas tentang peluang pengajian dan kerjaya dalam bidang tersebut.