Pelancaran Buku Case Study Of Wildlife Pathology In Malaysia | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » Pelancaran Buku Case Study of Wildlife Pathology in Malaysia

Pelancaran Buku Case Study of Wildlife Pathology in Malaysia

Ketua Pengarah PERHILITAN, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim (tiga dari kanan) bersama mantan Presiden MAVP, Profesor Madya Dr. Faez Firdaus Jesse Abdullah (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘Case Studies of Wildlife Pathology in Malaysia’. Turut kelihatan penulis buku, Dr. Donny Yawah dari PERHILITAN (kiri), Dr. Annas Salleh dari UPM (tiga dari kiri) dan Profesor Dr. Jasni Sabri dari UMK (kanan).

MAVP, PERHILITAN LANCAR BUKU PATOLOGI HIDUPAN LIAR MALAYSIA

KOTA BHARU:  Persatuan Patologi Veterinar Malaysia (MAVP) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah melancarkan jilid pertama buku ‘Case Studies of Wildlife Pathology in Malaysia’ bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran pelajar veterinar dan rujukan pihak yang berminat.

Pelancaran buku sempena Persidangan Saintifik MAVP kali ke-11 merupakan penanda baru dalam aspek penerbitan buku ilmiah berkaitan permasalahan patologi pelbagai spesis hidupan liar. Buku setebal 110 halaman yang mengandungi 5 kajian kes melibatkan rusa timor, kijang, seladang, gajah dan ungka, adalah hasil kolaborasi pegawai akademik Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta pegawai PERHILITAN.

Dalam perkembangan yang lain, MAVP telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pekhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia bagi meningkatkan kerjasama dalam aspek penganjuran persidangan, latihan dan penghasilan buku ilmiah di antara kedua-dua pihak.

MoU berkenaan dimeterai di antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dato’ Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dengan mantan Presiden MAVP, Profesor Madya Dr. Faez Firdaus Jesse Abdullah dan disaksikan oleh Presiden Persatuan Veterinar Malaysia (VAM), Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor, dalam majlis khas sempena persidangan saintifik tersebut.

Persidangan diakhiri dengan acara kemuncak penganugerahan status felo MAVP kepada pegawai akademik yang berdedikasi dalam memberikan sumbangan kepada bidang patologi dan sijil kepada para pemenang kategori persembahan lisan, poster dan mikrograf terbaik. Persembahan poster (kategori laporan kes) terbaik dimenangi oleh Dr. Mazlina Mazlan manakala poster terbaik (kategori penyelidikan) dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Gayathri Thevi Selvarajah. Dr. Intan Shameha Abdul Razak terpilih sebagai pemenang kategori Mikrograf Terbaik.  Kesemua pemenang utama kategori merupakan pegawai akademik Fakulti Perubatan Veterinar UPM.  

Tarikh Input: 03/09/2019 | Kemaskini: 03/09/2019 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3800
+603 9769 1971
C1569223909