MOU Antara Universiti Putra Malaysia Dan Delstasia Sdn Bhd | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » MOU antara Universiti Putra Malaysia dan Delstasia Sdn Bhd

MOU antara Universiti Putra Malaysia dan Delstasia Sdn Bhd

 

Serdang, 23 Oktober 2023 - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Delstasia Sdn Bhd menyaksikan satu sejarah penting dengan termetrainya Memorandum Persefahaman (MOU) di antara ke dua-dua pihak pada 18 Oktober 2023. MOU tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam penyelidikan serta inovasi dalam bidang pemakanan haiwan.

 

MOU tersebut ditandatangani oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila, dan Pengarah Urusan Delstasia, Steven Goh Ah Kow. Turut menyaksikan majlis bersejarah tersebut ialah Pengarah Delstasia, Dr. Wilmot Sasindran. Kerjasama ini mencerminkan tekad kedua-dua pihak untuk meneroka dan memajukan ilmu dalam pemakanan haiwan, yang memainkan peranan penting dalam industri pertanian dan pemakanan di Malaysia.

 

Upacara majlis menandatangani MOU tersebut diteruskan dengan pembentangan seminar bertemakan 'Science and Innovation on Optimizing Animal Feed.' Seminar ini menarik perhatian dengan kehadiran lebih 50 peserta, termasuklah pelajar siswazah, prasiswazah, dan orang awam yang berminat dalam perkembangan terkini dalam pemakanan haiwan.

 

Empat orang pakar dalam bidang pemakanan haiwan telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang ini iaitu Encik Steven Goh dengan tajuk seminar ‘Forensic Food Science – The Future of Feed Processing and Feed Nutrition’, Dr. Mohd Mokrish Md. Ajat – ‘The Science Behind Nutrient Stability and Palatability of Feed’, Matthew Clark – ‘Technological advancement in feed nutrition’, dan diakhiri oleh Prof. Madya Dr. Intan Shameha Abdul Razak dengan seminarnya yang bertajuk ‘Potential Use of Electron Microscopy Technique for Feed Imaging’.

 

Seminar ini memberi peluang kepada peserta untuk mendalami pengetahuan dalam pemakanan haiwan dan memahami bagaimana inovasi dalam pemakanan haiwan boleh meningkatkan prestasi pertanian serta industri pemakanan di Malaysia.

 

Kerjasama antara UPM dan Delstasia Sdn Bhd dalam bidang pemakanan haiwan melalui termetrainya MOU ini dijangka akan membuka pintu kepada pelbagai peluang penyelidikan dan perkongsian pengetahuan di masa hadapan. Ia juga akan memberi manfaat kepada industri pertanian negara serta menyumbang kepada peningkatan kualiti dan keberlanjutan sektor pemakanan haiwan.

Tarikh Input: 23/10/2023 | Kemaskini: 23/10/2023 | m_nazmi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEbSAI~