1st International Conference On Rabbit Production In The Tropical Climate | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » 1st International Conference on Rabbit Production in the Tropical Climate

1st International Conference on Rabbit Production in the Tropical Climate

Sebahagian dari ahli jawatankuasa saintifik persidangan RPTC 2019: (Dari kiri) Dr. Mohd Mokrish Ajat, Dr. Mohd Shahrom Salisi dan Dr. Rozaihan Mansor

 

INDUSTRI PETERNAKAN ARNAB MAMPU JANA PENDAPATAN LUMAYAN

CYBERJAYA: Daging dan produk berasaskan daging arnab mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai sumber protin alternatif yang rendah kolesterol, bersesuaian dengan hasrat negara untuk menjamin kelangsungan bekalan sumber makanan mampan dari haiwan ternakan.

Saiz arnab yang kecil dan cirinya yang cepat berkembang-biak, sifatnya yang mudah menyesuaikan  diri dengan keadaan sekeliling serta mampu membesar dengan diet campuran menjadikan arnab spesis haiwan ternakan  yang menjadi pilihan penternak beberapa  negara Asia masa kini.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Produksi Arnab Asia (ARPA) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Produksi Arnab dalam Iklim Tropika (RPTC 2019) untuk kali pertama, serentak dengan Persidangan Persatuan Produksi Arnab Asia (ARPA) ke-4 di Cyberjaya baru-baru ini.

Ahli jawatankuasa saintifik persidangan dan pensyarah kanan Fakulti Perubatan Veterinar (UPM), Dr. Mohd Shahrom Salisi yang ditemui berkata, persidangan yang menghimpunkan delegasi dari rantau Asia seperti India, China dan Vietnam serta pengucaptama jemputan dari Amerika Syarikat dan Perancis tersebut dianjurkan bertujuan untuk memberikan informasi terkini dalam bidang inovasi dan penyelidikan dalam industri peternakan arnab, menggalakkan penyelidik dan penggiat industri peternakan arnab berkongsi amalan terbaik industri di samping mewujudkan ruang kerjasama  dengan pemegang taruh industri.

“Idea untuk menganjurkan persidangan secara kolaborasi ini tercetus apabila pihak penternak arnab memperolehi maklumat mengenai kepakaran ahli akademik fakulti dalam bidang fisiologi, genetik, reproduksi, patologi, parasitologi dan mikrobiologi berkaitan arnab melalui pelajar latihan industri di ladang-ladang yang berkenaan.

“Pihak MARBA seterusnya menyatakan hasrat untuk menganjurkan persidangan sulung dimana kepakaran yang tersedia dharapkan dapat membantu merancakkan industri produksi arnab, khasnya dalam aspek berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R & D),” katanya di persidangan tersebut.

Selain pembentangan kertas kerja oleh delegasi antarabangsa dan tempatan, persidangan yang berlangsung selama 2 hari  turut memuatkan acara seperti forum dengan penternak, sesi pembentangan khas oleh wakil industri serta pertandingan memasak daging arnab.

Tarikh Input: 03/09/2019 | Kemaskini: 10/02/2021 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEaMAl~