|
Oleh: Dr. Muhammad Ammar Qusyairi Bin Hisham | ammarqusyairi@upm.edu.my KANGAR, 18 Julai - Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dalam menganjurkan Sesi Knowledge Transfer Berkaitan Asas Pengurusan dan Kesihatan Kuda Kepada Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis pada 16 dan 17 Julai 2025, menggunakan dana komuniti daripada Lembaga Totalisator Malaysia (LTM). |
|
![]() |
![]() |
|
Para peserta yang terdiri daripada kakitangan JPV Negeri Perlis serta fasilitator dari UVH bergambar kenang-kenangan sebelum Program Pemindahan Ilmu (Ekuin) melabuhkan tirainya. |
Sebahagian peserta bersama penceramah selepas sesi teori pada hari pertama Program Pemindahan Ilmu (Ekuin) di Dewan Serbaguna, JPV Kangar, Perlis. |
|
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek penjagaan serta kesihatan kuda secara lebih mendalam, bagi memastikan tahap kesihatan kuda-kuda di Perlis sentiasa berada dalam keadaan yang baik sekaligus menyokong pembangunan berterusan industri kuda di Perlis. Sesi perkongsian teori telah berlangsung di Dewan Serbaguna Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis, Kangar, manakala sesi latihan amali klinikal dijalankan di Taman Agrovet, Padang Besar, Perlis. |
|
![]() |
![]() |
|
Penceramah dan fasilitator daripada UVH bergambar bersama Pengarah dan Timbalan Pengarah JPV Negeri Perlis, Dr. Zawida Binti Zahari dan Dr. Madihah Binti Mohd Zin. |
Penceramah, Prof. Madya Dr Noraniza Mohd Adzahan, menerangkan berkenaan kebajikan dalam aspek pengurusan kuda kepada peserta program. |
|
Seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan JPV Negeri Perlis telah menyertai program ini manakala lapan orang staf daripada UVH telah dijemput sebagai penceramah dan fasilitator bagi menyampaikan sesi perkongsian ilmu. Sesi pemindahan ilmu dimulakan dengan tiga pembentangan utama. Dr. Noorashimah Roslim membuka sesi dengan tajuk "Identifikasi dan Asas Pengurusan Kuda", diikuti oleh Dr. Syahirah Ahmad Affandi dengan pembentangan bertajuk "Pemeriksaan Klinikal Kuda", dan sesi diakhiri dengan pembentangan bertajuk "Kebajikan dalam Aspek Pengurusan Kuda" yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan. |
|
![]() |
![]() |
|
Penceramah, Dr. Noorashimah Roslim berkongsi mengenai identifikasi kuda dan anggaran usia melalui gigi kuda kepada para peserta program. |
Dr. Syahirah Ahmaf Affandi berkongsi ilmu berkenaan pemeriksaan klinikal kuda kepada peserta program. |
|
Penumpuan turut diberikan kepada isu-isu klinikal yang lazim dihadapi dalam pengurusan kesihatan kuda. Antara topik yang dibincangkan termasuk "Penyakit Kulit dan Ketempangan", "Penyakit Kolik Kuda" serta "Asas Pembedahan dan Prosedur Bius Kuda". Pada hari kedua program, latihan amali klinikal telah dilaksanakan yang melibatkan prosedur pembedahan kembiri ke atas seekor kuda jantan di Taman Agrovet, Padang Besar. Prosedur ini dikendalikan oleh Dr. Azim Salahuddin Muhamad dan staf UVH dengan kerjasama kakitangan JPV Negeri Perlis. |
|
![]() |
![]() |
|
Para Fasilitator dan peserta bekerjasama dalam melaksanakan prosedur pembedahan kembiri ke atas kuda jantan semasa sesi latihan amali klinikal yang dijalankan di Taman Agrovet, Padang Besar, Perlis. |
Dr. Siti Norain Azhar, dibantu oleh Encik Mohd Firdaus dan Encik Mohamad Khairil Anuar sedang membimbing para peserta mengenai langkah-langkah penting yang perlu diambil kira semasa proses pemulihan (recovery) kuda daripada anestesia setelah pembedahan selesai. |
|
Program ini telah menjadi platform penting dalam memperkukuh pengetahuan kakitangan JPV Negeri Perlis berkenaan pemeriksaan kesihatan dan pengurusan penyakit kuda, sekaligus turut meningkatkan keyakinan dan kemahiran dalam mengendalikan kes-kes kecemasan serta rawatan kuda secara lebih sistematik. Timbalan Pengarah JPV Negeri Perlis, Dr. Madihah Binti Mohd Zin berkata, "Terima kasih UVH atas kesudian berkongsi ilmu di Perlis. Walaupun bilangan pemilik kuda di sini kecil, tetapi latihan ini amat penting bagi kami di JPV Negeri Perlis dalam mengenalpasti dan melalukan intervensi awal terhadap kes-kes kuda yang memerlukan perhatian segera di negeri ini. Ini merupakan kursus pertama berkenaan kesihatan kuda di Perlis dan diharap menjadi pemula kepada lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang. Kami berharap kolaborasi antara UVH dan JPV Negeri Perlis dapat terus dilakukan pada masa akan datang." |
|
![]() |
![]() |
|
Dr. Azim Salahuddin dan Dr. Muhammad Ammar Qusyairi sedang bekerjasama melakukan pembedahan kembiri ke atas seekor kuda jantan sambil memberikan penerangan terperinci mengenai prosedur pembedahan kepada Timbalan Pengarah JPV Negeri Perlis, Dr. Madihah Binti Mohd Zin, semasa sesi latihan amali klinikal. |
Dr. Noorashimah Roslim sedang membimbing para peserta mengenai kaedah pengambilan degupan jantung serta aspek-aspek penting yang perlu dipantau sepanjang proses pemantauan anestesia semasa prosedur pembedahan kembiri dijalankan. |
|
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasa pembangunan industri haiwan dan veterinar di Negeri Perlis, khususnya dalam bidang pengurusan dan kesihatan kuda. Program seumpama ini dijangka akan diteruskan pada masa hadapan sebagai inisiatif berterusan dalam usaha menyampaikan ilmu kepada agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab memastikan kesihatan dan pengurusan haiwan ternakan, khususnya kuda, sentiasa berada dalam keadaan yang optimum dan terkawal. |
|
![]() |
|
|
Para peserta dan fasilitator bekerjasama memastikan kuda dipindahkan ke kandang berhampiran dalam keadaan selamat selepas prosedur pembedahan selesai dijalankan. |
|
Date of Input: 22/07/2025 | Updated: 22/07/2025 | faizeenazani
