Latihan HIPRA University Perkukuh Pengurusan Penyakit Unggas | FACULTY OF VETERINARY MEDICINE vet
» NEWS » Latihan HIPRA University Perkukuh Pengurusan Penyakit Unggas

Latihan HIPRA University Perkukuh Pengurusan Penyakit Unggas

Latihan HIPRA University Perkukuh Pengurusan Penyakit Unggas

 

Oleh: Nur Syazlina Omar | syazlina@upm.edu.my

 

SERDANG, 19 Ogos – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar (JPMV), dengan kerjasama HIPRA Malayisa Sdn. Bhd., telah menganjurkan program “HIPRA University Newcastle & Avian Metapneumovirus Diseases Training 2026” bertempat di Bilik Jemaah dan Makmal Anatomi FPV.

 

Program ini dianjurkan sebagai platform perkongsian dan pemindahan ilmu berkaitan penyakit Newcastle dan Avian Metapneumovirus, merangkumi aspek epidemiologi, pencegahan, teknik diagnostik serta cabaran dalam pengawalan dan pencegahan wabak penyakit dalam industri ternakan ayam.  

 

Seramai 55 peserta telah menyertai program ini yang menampilkan beberapa penceramah berpengalaman dalam bidang berkaitan, termasuk Prof. Dr. Abdul Rahman Omar dan Prof. Dr. Mohd Hair Bejo dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM. Perkongsian turut disampaikan oleh Douglas Tsai, Ong Shyong Wey dan Myeong Seob Kim, yang membincangkan strategi pencegahan, epidemiologi, perkembangan teknik diagnostik serta isu dan cabaran dalam pengurusan penyakit Newcastle dan Avian Metapneumovirus.

 

Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut berpeluang mengikuti sesi praktikal nekropsi yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Mohd Hair Bejo. Sesi ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai pemeriksaan nekropsi sebagai sebahagian daripada proses diagnosis penyakit, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran dalam pemeriksaan dan pengambilan maklumat yang berkaitan bagi menyokong diagnosis yang tepat.

 

Program turut disusuli dengan sesi soal jawab dan penilaian aktiviti bagi mengukuhkan kefahaman peserta terhadap topik yang dibincangkan. Sesi penyampaian sijil kepada para penceramah dan sesi penutup kemudiannya menandakan berakhirnya program latihan.

 

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Fakulti Perubatan Veterinar, UPM dalam memperkukuh pembangunan kompetensi profesional serta meningkatkan keupayaan diagnostik dalam pengurusan penyakit unggas. Usaha ini turut menyokong peningkatan kesedaran dan keupayaan veterinawan serta pemegang taruh industri dalam memastikan tahap kesihatan gerompok ayam yang optimum.  

 

Date of Input: 21/08/2026 | Updated: 21/08/2026 | m_nazmi

MEDIA SHARING

FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (07:25:52am-07:30:52am, 22 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]