KOMITMEN TINGGI PENJAGAAN SEPANJANG HAYAT KUDA | FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
» NEWS » KOMITMEN TINGGI PENJAGAAN SEPANJANG HAYAT KUDA

KOMITMEN TINGGI PENJAGAAN SEPANJANG HAYAT KUDA

 

KOMITMEN TINGGI PENJAGAAN SEPANJANG HAYAT KUDA

BEBERAPA soalan perlu ditanya kepada diri sendiri sama ada anda mempunyai minat, ilmu dan sumber kewangan mencukupi untuk memelihara kuda.

Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang dan Eksotik, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Nurul Hayah Khairuddin berkata, semua aspek ini amat penting kerana memelihara kuda menuntut tanggungjawab dan komitmen tinggi.

"Kepada yang berminat membela kuda, pemiliknya perlu belajar terlebih dahulu mengenai pemeliharaan haiwan tunggangan ini kerana ilmu mengenai penjagaannya sangat luas.

"Ilmu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber sama ada belajar dari individu berpengalaman, menyertai kursus yang dianjurkan badan rasmi mengenai asas berkuda atau menjadi sukarelawan di kandang kuda sedia ada.

Menurutnya, penjagaan kuda memerlukan perhatian dan komitmen penjagaan sepanjang hayat kuda.

"Setiap hari kandang perlu dibersihkan, makanan perlu diberikan sekurang-kurang tiga kali sehari, jenis makanan sesuai dan memastikan kesihatannya sentiasa dalam keadaan baik. Selain itu, setiap hari kuda perlu dibawa keluar dari kandang untuk mengelakkannya stres terkurung terlalu lama tanpa aktiviti atau latihan.

"Tugas menjaga kuda ini adalah satu pekerjaan profesional. Sekiranya tidak mampu memberi komitmen, anda boleh mengupah individu terlatih untuk menjaga kuda pada setiap hari," katanya.

Mengulas lanjut, tidak dinafikan memelihara kuda memerlukan sejumlah wang agak besar untuk memenuhi keperluan haiwan ini.

"Banyak kos diperlukan termasuk penyelenggaraan, penjagaan kesihatan (vaksinasi dan ubat cacing), makanan, pemasangan ladam setiap empat hingga enam minggu sekali dan lain-lain kos. Kos rawatan untuk kuda yang sakit atau cedera pula bergantung kepada masalah kesihatan dihadapi.

"Malah, bajet ini perlu sentiasa ada supaya apabila kuda sakit secara tiba-tiba, pemiliknya bersedia menanggung kosnya.

"Pemilik perlu menyediakan bajet bulanan dan bajet tahunan khas untuk kuda supaya kebajikan mamalia ini tidak terabai," katanya.

Bagi mengelakkan kos rawatan menjadi lebih tinggi, pemilik perlu memastikan kuda peliharaan berada dalam persekitaran selamat dan berkeadaan baik untuk mengurangkan risiko sakit atau tercedera.

"Belajar untuk mengenal pasti tahap kesihatan kuda atau hubungi doktor veterinar untuk mengenal pasti jika kuda benar-benar sakit. Pastikan anda menyimpan nombor telefon doktor veterinar bidang kuda.

"Langkah awal ini amat penting untuk memastikan masalah kesihatan dapat dirawat segera sebelum menjadi lebih serius, sekali gus dapat membantu mengurangkan kos," katanya.

Ditanya berkenaan tahap kesedaran terhadap kuda, Dr Nurul Hayah berpendapat, ia masih berada di peringkat perlu dipupuk supaya masyarakat awam lebih memahami berkenaan haiwan ini dan mampu memberikan penjagaan yang baik untuk haiwan ini.

"Program pengembangan ilmu mengenai asas kesihatan kuda ada dianjurkan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari semasa ke semasa untuk memberi kesedaran kepada kelab dan agensi yang memelihara kuda, terutama berkenaan penjagaan serta kesihatan kuda," katanya.

"Melalui ilmu, kita dapat mengetahui keperluan dan kebajikan kuda termasuk menyediakan kandang bersesuaian, penjagaan kesihatan, makanan, keselamatan dan latihan," katanya.

SUMBER HARIAN METRO - https://www.hmetro.com.my/ku-bela/2023/04/958519/komitmen-tinggi-penjagaan-sepanjang-hayat-kuda

Date of Input: 19/04/2023 | Updated: 11/05/2023 | m_nazmi

MEDIA SHARING

FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEUPAX~