Warga FPV Kuasai Teknik Penulisan Berita
Prof. Madya Dr Akmar (Tengah), Penceramah bersama Ahli Pengurusan dan para peserta Latihan Penulisan Berita
Oleh
Salinah binti Junid
SERDANG, 9 April 2025- Seramai 18 warga Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghadiri Latihan Penulisan Berita yang dianjurkan oleh fakulti berkenaan.
Program anjuran pengurusan fakulti itu disertai ahli Jawatankuasa Laman Web bersama pensyarah dan kakitangan yang terbabit dalam pengurusan laman web.
Dijemput berkongsi pandangan dalam bengkel itu adalah Prof. Madya Dr. Akmar Hayati binti Ahmad Ghazali, Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang berpengalaman dalam penulisan berita.
Akmar Hayati dalam perkongsiannya menegaskan adalah penting kepada FPV membina gaya penulisan tersendiri agar warga UPM dan komuniti setempat mengetahui aktiviti fakulti.
Sementara itu, Ketua Pentadbir Fakulti, Puan Salinah Junid berkata, bengkel itu bertujuan meningkatkan pemahaman warga fakulti mengenai kepentingan Laman Web Fakulti sebagai salah satu medium komunikasi bersama pelanggan melalui penulisan berita.
Katanya, kekurangan jumlah berita di Laman Web Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) pada 2024 telah mencetuskan idea untuk melahirkan lebih ramai penulis berita yang mampu menulis berita dengan jelas dan menarik.
“Peserta telah didedahkan kepada maklumat asas berkenaan komponen berita, format penulisan, perbezaan antara berita dan rencana dan contoh berita, serta latihan praktikal.
“Kita juga berhasrat, latihan sedemikian diteruskan dan dikembangkan agar peserta memperoleh ilmu dan kemahiran untuk menulis rencana demi kecemerlangan staf terbabit dan FPV,” katanya.
Tarikh Input: 10/04/2025 | Kemaskini: 10/04/2025 | m_nazmi
