UVH Perkasa Minat Murid Terhadap Bidang Veterinar Melalui Program CSR-STEM | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » UVH Perkasa Minat Murid Terhadap Bidang Veterinar Melalui Program CSR-STEM

UVH Perkasa Minat Murid Terhadap Bidang Veterinar Melalui Program CSR-STEM

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 13 Julai - Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (CSR-STEM) pada 27 Jun 2026 di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Selangor. Program ini merupakan inisiatif bersama Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra bagi memupuk minat murid terhadap bidang STEM melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman.

 

Program ini melibatkan murid Tahun 4 hingga Tahun 6 yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik. Sepanjang sesi selama dua jam, peserta didedahkan kepada bidang perubatan veterinar melalui ceramah serta pelbagai aktiviti interaktif. Pasukan UVH diketuai oleh penceramah, Dr. Siti Sarismahanim Ismail, bersama enam orang fasilitator yang terdiri daripada Pegawai Veterinar, Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Veterinar dan Pembantu Veterinar, sekali gus menjayakan setiap pengisian yang dirancang.

 

Pelbagai aktiviti amali telah dijalankan bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta. Antaranya termasuk pengenalan anatomi haiwan, teknik pemberian ubat, simulasi pengambilan darah menggunakan peralatan Objective Structured Clinical Examination (OSCE), latihan menjahit luka menggunakan suture pad, teknik pembalutan kecederaan, aktiviti memerah susu serta pemeriksaan kualiti susu. Pendekatan pembelajaran secara hands-on berjaya meningkatkan penglibatan peserta sepanjang program berlangsung.

 

Penceramah program, Dr. Siti Sarismahanim Ismail berkata, “Saya amat menghargai komitmen PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra yang sentiasa menitikberatkan penganjuran program pembangunan murid seperti ini. Selain itu, Fakulti Pergigian UiTM turut memainkan peranan besar melalui pelbagai inisiatif pendidikan bersama sekolah bagi memperkukuh minat generasi muda terhadap bidang STEM sejak di bangku sekolah lagi.”

 

Beliau berkata, program ini memberi peluang kepada Fakulti Perubatan Veterinar memperkenalkan bidang veterinar kepada murid yang sebelum ini lebih terdedah kepada bidang perubatan dan pergigian. Menurut beliau, pendekatan pembelajaran secara hands-on berjaya membuka minda peserta terhadap skop profesion veterinar, di samping mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti melalui perkongsian ilmu, kepakaran serta kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan sekolah.

 

 

 

Tarikh Input: 13/07/2026 | Kemaskini: 13/07/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:37:52am-08:42:52am, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]