Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 28 Julai - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Kebajikan Haiwan@VET, UPM Siri 7/2026 bertajuk “Jangan Diam! Cara Melaporkan Kezaliman terhadap Haiwan”. Webinar disampaikan oleh YBrs. Dr. Hajah Ani Yardi, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kebajikan Haiwan, Bahagian Regulatori Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Webinar ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab melaporkan kes pengabaian dan penganiayaan haiwan secara beretika mengikut peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). Peserta turut didedahkan kepada lima keperluan asas kebajikan haiwan, bentuk kesalahan di bawah Akta 772 serta hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelaku.
Menurut Dr. Hajah Ani Yardi, “Kesedaran bermula dengan tindakan. Membiarkan kezaliman terhadap haiwan adalah satu pengabaian, manakala setiap laporan yang lengkap, tepat dan berasaskan bukti mampu menjadi pencetus kepada keadilan.” Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat berperanan sebagai mata dan telinga dalam membantu pihak berkuasa membanteras kezaliman terhadap haiwan.
Peserta turut dibimbing mengenai kaedah membuat aduan melalui portal MyAnimalWelfare dengan menyediakan maklumat lengkap seperti identiti pelaku, lokasi, masa kejadian serta bukti bergambar atau rakaman video. Penekanan turut diberikan terhadap aspek keselamatan pengadu, etika pelaporan, integriti bukti dan kerahsiaan maklumat sepanjang proses siasatan.
Penganjuran webinar ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasakan pengetahuan masyarakat mengenai kebajikan haiwan serta tanggungjawab sivik membanteras kezaliman terhadap haiwan. Program seumpama ini diharap dapat menggalakkan orang awam melaporkan kes secara bertanggungjawab, sekali gus menyokong penguatkuasaan undang-undang dan meningkatkan kesejahteraan haiwan di Malaysia.

Dr. Ani Yardi menyampaikan ceramah secara dalam talian.

Peserta dibimbing mengumpulkan bukti lengkap sebelum membuat aduan rasmi berkesan.

Dr. Diyana Tahir mengikuti sesi webinar sebagai moderator jemputan.
Klik media di bawah untuk tonton video rakaman:
Klik media di bawah untuk dapatkan slaid penceramah:
Tarikh Input: 28/07/2026 | Kemaskini: 28/07/2026 | zafarul
