Program Semarak Merdeka UPM 2024: Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Dinobatkan Penerima Anugerah PTJ Top 20 dan Anugerah Khas Juri
Serdang, 22 Ogos – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) telah tersenarai dalam PTJ Top 20 teratas dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Inter PTJ , serta merangkul Anugerah Khas Juri, Kategori Komitmen Pengurusan PTJ Terbaik melalui pertandingan Koir Merdeka Inter-PTJ bersempena dengan Program Semarak Merdeka UPM 2024 anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. 
Program Semarak Merdeka UPM 2024 telah bermula pada awal bulan Jun dan FPV telah menghantar wakil untuk menyertai tiga pertandingan yang dianjurkan. Ini termasuk, Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Inter-PTJ, Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Inter-PTJ dan Inter-Kolej, dan Pertandingan Koir Merdeka Inter-PTJ. Kemuncak pada program itu adalah Majlis Anugerah Semarak Merdeka 2024 yang telah diadakan pada 22 Ogos 2024 di Panggung Percubaan UPM.
Penglibatan semua staf FPV dalam ketiga-tiga pertandingan perlu diberi pujian kerana secara tidak langsung memberi impak yang besar dalam kerjasama dan komitmen dikalangan staf tidak mengira pangkat. Momen yang paling membanggakan fakulti, empat barisan utama pengurusan FPV, yang terdiri daripada Prof. Dr. Goh Yong Meng (Dekan), Prof. Dr. Jalila Abu (TD Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Intan Shameha Abdul Razak (TD Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) dan Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan (TD Hospital Veterinar Universiti) yang telah turut mengibarkan jalur gemilang bersama-sama mengiringi persembahan kumpulan koir FPV, yang diberikan nama ‘Vet Virtuso’.
Vet Virtuso diwakili oleh 18 orang staf fakulti diketuai oleh Encik Muhammad Nur Iman Aminuddin, dan dibimbing oleh Dr. Azalea Hani Othman. Manakala, penglibatan Puan Salinah @ Lina Junid, Timbalan Pendaftar, FPV dan juga, Encik Ahmad Azlan Ahmad Saad, Pegawai Tadbir, yang turut sama sebagai penyanyi koir Vet Virtuso, menjadi momen manis buat warga fakulti FPV. Manakala, penglibatan Puan Ainaa Liyana Abdul Rahman, Penolong Pegawai Tadbir UVH, yang telah mewakili fakulti bagi Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Inter-PTJ, juga dilihat sebagai lambang semangat patrotik FPV kepada Malaysia.
Penyertaan FPV dalam Program Semarak Merdeka pada tahun ini telah melonjakkan lagi keterlihatan FPV di UPM. Anugerah yang telah diterima ini menjadi pemangkin kepada warga FPV untuk lebih bersedia pada tahun hadapan bagi meraih kejayaan yang lebih besar dalam program ini kelak.
Tarikh Input: 26/08/2024 | Kemaskini: 29/08/2024 | azwaar
