Kunjungan Naib Canselor AIMST University Perkukuh Jaringan Bersama FPV UPM
Oleh: Nurain Natasha Afindi | nurainnatasha@upm.edu.my
SERDANG, 10 Ogos – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan rasmi YBhg. Profesor ChM Dr. Kathiresan V. Sathasivam FMIC, Naib Canselor AIMST University, bersama delegasi yang terdiri daripada YB Dato' Sri Dr. Devamany S. Krishnasamy, YBrs. Cik Mumtaz Begum Bt Hamid, YBrs. Cik Kung Lay Kheng, YBrs. Dr. Thiagarajan Novalan, YBrs. Dr. Fuziaton Baharudin serta YBrs. En. Ramesh.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh barisan ahli pengurusan FPV, sebelum diteruskan dengan taklimat dan pengenalan fakulti. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan FPV, YBhg. Prof. Dr. Goh Yong Meng, FASc, diikuti pembentangan mengenai latar belakang, bidang kepakaran serta perkembangan akademik dan penyelidikan terkini. Perbincangan yang berlangsung kemudiannya memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan berkaitan pendidikan veterinar, penyelidikan dan potensi kerjasama pada masa akan datang.
Delegasi kemudiannya berkesempatan meninjau pelbagai kemudahan akademik dan penyelidikan yang terdapat di FPV, termasuk dewan kuliah, makmal serta Muzium Anatomi Haiwan, sebelum meneruskan lawatan ke Hospital Veterinar Universiti (UVH). Lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan, fasiliti pengajaran serta perkhidmatan klinikal yang menyokong pelaksanaan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan veterinar. Kunjungan ini turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai persekitaran pembelajaran dan ekosistem akademik yang disediakan.
Seluruh warga FPV, UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Profesor ChM Dr. Kathiresan V. Sathasivam dan seluruh delegasi AIMST University atas kunjungan tersebut. Semoga jalinan yang terjalin terus diperkukuh dan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi pada masa hadapan.

Tarikh Input: 13/08/2026 | Kemaskini: 13/08/2026 | m_nazmi
