FPV UPM Terima Lawatan Delegasi Jepun dan Agensi Nuklear Malaysia
Serdang, 9 Februari 2026 – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan rasmi daripada delegasi Jepun bersama Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian kepakaran dalam bidang perubatan veterinar dan teknologi berkaitan.
Ketibaan rombongan disambut oleh Prof. Madya Dr. Intan Shameha Abdul Razak, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) FPV. Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Dr. Goh Yong Meng, Dekan FPV, diikuti taklimat mengenai perkembangan fakulti, program akademik serta kemudahan pembelajaran yang terdapat di FPV.
Delegasi Jepun seterusnya menyampaikan pembentangan slaid bagi berkongsi kepakaran, pengalaman serta perkembangan terkini dalam bidang masing-masing. Delegasi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Takehiko Kakizaki dari Kitasato University School of Veterinary Medicine, bersama beberapa orang pakar dari institusi yang sama serta National Institutes for Quantum Science and Technology (QST), Jepun.
Rombongan pelawat turut dibawa melawat Fasiliti Universiti Veterinary Hospital (UVH) bagi meninjau kemudahan dan perkhidmatan yang menyokong aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal veterinar.
Turut mengiringi rombongan ialah pegawai daripada Agensi Nuklear Malaysia, iaitu Encik Daryl Jesus Arapoc dan Puan Nadhirah Razanah Shahrol, yang bertindak sebagai penyelaras sepanjang sesi lawatan.
Lawatan ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara FPV UPM, Agensi Nuklear Malaysia dan institusi Jepun, khususnya dalam bidang penyelidikan, latihan serta pembangunan kepakaran pada masa hadapan.
Tarikh Input: 13/02/2026 |
Kemaskini: 13/02/2026 | m_nazmi
PERKONGSIAN MEDIA