SERDANG, 18 Jun – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Malaysian Scientific Association baru-baru ini telah menganjurkan Assoc. Prof. Dato’ Dr. Vellayan Subramaniam Memorial Lecture sebagai penghargaan terhadap legasi luar biasa mendiang Dato’ Vellayan dalam bidang perubatan veterinar, parasitologi dan pemuliharaan hidupan liar.
Program yang berlangsung di Auditorium FPV ini menghimpunkan tokoh-tokoh utama dalam bidang veterinar, institusi akademik serta anggota masyarakat yang menyanjungi dedikasi mendiang sepanjang hayat terhadap kesihatan haiwan dan pendidikan. Sebagai perintis dalam bidang perubatan veterinar zoo dan hidupan liar di Malaysia, mendiang telah memainkan peranan penting di Zoo Negara sebelum meneruskan sumbangan dalam bidang akademik dan penyelidikan berkaitan penyakit haiwan eksotik dan zoonotik.
Majlis syarahan ini turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang hadir dalam kapasiti peribadi sebagai ahli keluarga mendiang Dato’ Vellayan. Turut hadir ialah Emeritus Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris, bekas Naib Canselor UPM dan tokoh tersohor dalam pendidikan veterinar negara.
Majlis memperingati ini menampilkan empat orang penceramah jemputan: Emeritus Prof. Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman, Prof. Dato’ Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Prof. Dr. Stephen Ambu dan Dr. Ali Anwar Ahmad. Setiap penceramah berkongsi kenangan peribadi serta pandangan profesional terhadap sumbangan besar mendiang dalam pembangunan bidang veterinar di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Lebih 100 peserta menghadiri majlis ini, merangkumi kalangan profesional veterinar, ahli akademik dan pelajar. Program ini menjadi platform bermakna bagi perkongsian ilmu, mengenang jasa seorang tokoh negara, serta menyemai inspirasi dalam kalangan generasi pemimpin veterinar akan datang.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi berkumpulan serta ucapan penghargaan daripada pihak penganjur. Menerusi penganjuran syarahan peringatan ini, FPV UPM menzahirkan komitmennya untuk terus menghargai dan memelihara legasi tokoh-tokoh perintis veterinar yang telah memberi impak besar dalam memajukan profesion ini serta dalam usaha pemuliharaan kesihatan haiwan dan biodiversiti negara.


Tarikh Input: 18/06/2025 | Kemaskini: 18/06/2025 | zafarul
