
Oleh: Nor Shafira Abdul Mutalib | shafira.mutalib@upm.edu.my
SERDANG, 12 Mac – Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Geran Eksploratori dan Transformatif (GET) KPT Tahun 2026.
Bengkel ini dilaksanakan sebagai usaha pihak fakulti dalam membantu para penyelidik membuat persediaan bagi permohonan Geran GET Tahun 2026. Program ini menggunakan pendekatan konsep mentor–mentee, selaras dengan keperluan baharu penghantaran permohonan geran tahun ini yang mewajibkan pelantikan mentor bagi setiap permohonan yang dihantar oleh pemohon dalam kategori Profesor Madya dan ke bawah.
Pelantikan mentor ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti bimbingan, memperkukuh cadangan penyelidikan serta meningkatkan kadar kejayaan permohonan geran. Inisiatif ini juga dilihat mampu membimbing para penyelidik, khususnya pensyarah baharu atau yang belum mempunyai geran penyelidikan aktif.
Bengkel ini telah disertai oleh seramai 23 orang pensyarah termasuk enam orang mentor yang telah dilantik. Pendekatan ini diharap dapat memastikan pemantapan idea penyelidikan, ketelitian dalam aspek metodologi serta penjajaran cadangan kepada keperluan dan jangkaan penilai.




Tarikh Input: 12/03/2026 | Kemaskini: 12/03/2026 | zafarul
