Bengkel Verifikasi Peralatan Asas Makmal Fakulti Perubatan Veterinar UPM | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Bengkel Verifikasi Peralatan Asas Makmal Fakulti Perubatan Veterinar UPM

Bengkel Verifikasi Peralatan Asas Makmal Fakulti Perubatan Veterinar UPM

 
Bengkel Verifikasi Peralatan Asas Makmal Fakulti Perubatan Veterinar UPM
 
Serdang, 27 Februari 2025 – Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Verifikasi Peralatan Asas Makmal yang diadakan di Makmal Farmakologi dan Bilik Tutorial 11. Bengkel ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tentukur dan Penyelenggaraan Peralatan Makmal dengan matlamat memastikan peralatan asas makmal sentiasa berada dalam keadaan optimum serta memenuhi piawaian yang ditetapkan.
 
Program ini dimulakan dengan sesi taklimat serta ucapan aluan oleh wakil Pengerusi Jawatankuasa Tentukur dan Penyelenggaraan Peralatan Makmal, Puan Salinah @ Lina binti Junid. Sepanjang bengkel, peserta mengikuti sesi amali yang merangkumi verifikasi jisim menggunakan analytical balance, verifikasi suhu bagi freezer, peti sejuk (refrigerator), dan inkubator (incubator), serta verifikasi isipadu menggunakan micropipette.
 
Setiap sesi amali dikendalikan oleh pegawai sains berpengalaman, iaitu Puan Norhaszalina binti Md. Isa dari Institut Biosains (IBS) dan Puan Nurnazeera binti Zulkefli dari Institut Nanoscience dan Nanoteknologi (ION2).
 
Bengkel ini diakhiri dengan sesi perbincangan serta taklimat penutup. Komitmen dan dedikasi semua staf yang terlibat dalam menjayakan program ini amat dihargai. Usaha berterusan dalam memastikan ketepatan dan keberkesanan peralatan makmal bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kualiti penyelidikan dan pembelajaran, tetapi juga mencerminkan profesionalisme serta keunggulan Fakulti Perubatan Veterinar.
 
Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan secara optimum untuk kebaikan bersama.
 

Tarikh Input: 28/02/2025 | Kemaskini: 28/02/2025 | m_nazmi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (09:20:56am-09:25:56am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]