Bengkel AVIAPP® Perkukuh Pengurusan Kesihatan Usus Ayam | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » Bengkel AVIAPP® Perkukuh Pengurusan Kesihatan Usus Ayam

Bengkel AVIAPP® Perkukuh Pengurusan Kesihatan Usus Ayam

Bengkel AVIAPP® Perkukuh Pengurusan Kesihatan Usus Ayam


Oleh: Nur Syazlina Omar | syazlina@upm.edu.my
 
SERDANG, 13 Julai – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar (JPMV), dengan kerjasama Omnisov Sdn. Bhd., telah menganjurkan program “HUVEPHARMA AVIAPP® Gut Health Workshop 2026” yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Julai 2026 di Bilik Jemaah, Makmal Anatomi dan Makmal Mikroskop I, FPV.
 
Program ini merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan bengkel pertama pada tahun 2023, dan bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran peserta berkaitan kepentingan kesihatan usus ayam dan pengurusan penyakit koksidiosis. Inisiatif ini juga memberi pendedahan kepada teknik diagnosis moden serta strategi kawalan penyakit bagi memastikan tahap kesihatan gerompok ayam sentiasa berada pada tahap optimum.
 
Seramai 60 peserta yang terdiri daripada pegawai veterinar, pengamal klinikal serta warga akademik telah menyertai bengkel ini. Pengisian program merangkumi sesi ceramah, perbincangan kes, serta latihan amali yang menekankan pendekatan berasaskan bukti dalam pengurusan kesihatan ternakan ayam.
 
Bengkel ini menampilkan beberapa penceramah dan fasilitator berpengalaman, termasuk Prof. Dato’ Dr. Mohd Hair bin Bejo, serta fasilitator sesi amali iaitu Dr. Mazlina binti Mazlan, Dr. Awang Hazmi bin Awang Junaidi dan Dr. Norfitriah binti Mohamed Sohaimi. Para penceramah berkongsi kepakaran dalam aspek kesihatan usus ayam, kawalan koksidiosis, penyakit baharu di rantau Asia, serta penggunaan sistem AVIAPP® dalam pemantauan dan penilaian kesihatan gerompok ayam.
 
Sesi amali turut memberi peluang kepada peserta untuk menjalankan nekropsi ayam, memahami teknik persampelan yang betul, serta mengaplikasikan kaedah penskoran lesi menggunakan sistem AVIAPP®. Pendekatan ini membantu meningkatkan kecekapan diagnostik dan keyakinan peserta dalam menguruskan kes penyakit di lapangan.
 
Penganjuran program ini dijangka memberi impak positif dalam melahirakan lebih ramai pengamal veterinar dan penternak yang kompeten, seterusnya meningkatkan produktiviti serta keberkesanan pengurusan kesihatan dalam industri ternakan ayam tempatan.

 

Tarikh Input: 13/07/2026 | Kemaskini: 13/07/2026 | m_nazmi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:37:52am-08:42:52am, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]