KES INFLUENZA LIKE ILLNESS & SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» ARTIKEL » KES INFLUENZA LIKE ILLNESS & SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION

KES INFLUENZA LIKE ILLNESS & SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dimaklumkan bahawa pada penghujung Disember 2019 telah berlaku peningkatan kes berkaitan ILI dan SARI manakala pada 4 Januari 2020 Kenyataan Akhbar KPK, KKM menyatakan terdapat peningkatan kes ILI terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima (5) tahun.

Sehubungan itu, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) mula melaksanakan pemantauan terperinci berkaitan trend kedatangan pesakit yang mempunyai gejala penyakit di atas sejak kes dilaporkan. Statistik kedatangan pelanggan ke PKU didapati meningkat berdasarkan gejala-gejala penyakit ILI. Walau bagaimanapun, setakat ini tiada kes kritikal yang dirawat dan dirujuk oleh PKU.

PKU juga telah mengaktifkan kaunter triage (saringan) untuk kenalpasti lebih awal pelanggan yang berisiko dan telah menyediakan bilik konsultasi khas bagi merawat pesakit yang mempunyai risiko bagi mengurangkan jangkitan kepada pelanggan lain. Pegawai Perubatan PKU juga telah diminta untuk lebih peka dalam memberi rawatan kepada kanak-kanak dan memastikan mematuhi Clinical Practice Guideline yang ditetapkan. Semua pengamal perubatan dan paramedik juga turut diminta untuk mengendalikan pesakit dengan menggunakan Personal Protective Equipment (PPE) yang lengkap termasuk memastikan langkah-langkah kawalan jangkitan penyakit yang sedia ada adalah dipatuhi sepanjang masa.

 

Warga kampus dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah seperti di bawah:

  • Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
  • Mengamalkan adab batuk yang betul dan cara hidup sihat;
  • Digalakkan untuk mendapatkan suntikan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara;
  • Warga kampus juga dinasihatkan berhati-hati ketika ke luar negara termasuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri;

 

Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara berikut:

  • Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan;
  • Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
  • Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain;
  • Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk /sakit tekak yang berterusan.

 

Pusat Kesihatan Universiti, UPM akan sentiasa memantau perkembangan berkaitan perkara ini dan memberi maklumat terkini kepada warga UPM dari semasa ke semasa.

Semoga makluman ini mendapat perhatian seluruh warga kampus.

Sekian, terima kasih.

 

Dr. Fauziah Adnan

Ketua
Pusat Kesihatan Universiti, UPM

Tarikh Input: 08/01/2020 | Kemaskini: 08/01/2020 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 3896
+603 9769 1971
WVMCOAv:14:09