Bahayakah Haiwan Kesayangan Terhadap Anda ? | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» ARTIKEL » Bahayakah Haiwan Kesayangan Terhadap Anda ?

Bahayakah Haiwan Kesayangan Terhadap Anda ?

 

Bahaya Binatang Kesayangan Terhadap Manusia, Ini Yang Anda Patut Tahu
Oleh :  Dr Nur Mahiza Md Isa

Figure 1.  Haiwan kesayangan memang ‘adorable’

Haiwan Kesayangan

Haiwan kesayangan memang comel, manja dan mengasyikkan. Sesetengah  daripada kita mengganggap haiwan peliharaan  sebagai ahli keluarga.

Haiwan kesayangan seperti kucing yang comel  memberikan kita ketenangan, mengurangkan stres dan ‘ubat’ kesunyian kepada pemilik nya.

Ada juga menjadikan membela haiwan kesayangan untuk menjana pendapatan.

Apapun alasan kita membela haiwan kesayangan, kita perlu berhati-hati terutamanya aspek kebersihan semasa menjaga mereka. Kenapa saya berkata demikian?

 

Zoonosis

Zoo-no-sis. Pernah dengar istilah ini?

Rasanya ianya sangat ‘biasa’ kepada sesiapa yang bekerja di bidang veterinar, perubatan atau biologi. Kalau diorang tak pernah dengar, erm kena mengulang balik semester. Terutamanya pelajar perubatan veterinar di Universiti Putra Malaysia. Hehe.

Istilah zoonosis berasal dari istilah latin ‘zoon’ bermakna haiwan dan ‘nosos’ adalah sakit. Secara ringkasnya zoonosis adalah sesuatu penyakit yang boleh menjangkiti manusia daripada haiwan

Jangan panik dan tak nak sentuh haiwan apabila dah tahu terminologi zoonosis ini.

Kita, sebagai manusia pun, juga boleh menjangkitikan penyakit kepada haiwan kesayangan kita. Namanya ‘reverse zoonosis’.

Contoh penyakit zoonosis yang tengah hangat di Malaysia sekarang ini ialah rabies (penyakit anjing gila). Selain itu, leptospirosis (kencing tikus) dan influenza virus (selsema burung) pernah menjadi isu yang menggemparkan negara kita. Sebenarnya ada banyak lagi penyakit zoonosis.

Penyakit zoonosis ini disebabkan oleh mikroorganisma seperti virus, bakteria, fungi dan parasit yang berada pada haiwan yang telah dijangkiti.

Dalam penulisan ini saya hanya ingin menyentuh mengenai parasit cacing yang hidup dalam badan haiwan kesayangan anda, yang mungkin ada sedari atau tidak.

Figure 2. Kita mempunyai hubungan yang rapat dengan haiwan kesayangan.

 

Cacing Kait : Ancylostoma

Dalam anjing dan kucing, terdapat cacing yang lazim dijangkiti jika kita tidak memberikan haiwan kesayangan kita ubat cacing. Contohnya cacing kait  yang dinamakan Ancylostoma. .

Tahukah anda bahawa cacing-cacing ini bertelur?

Najis haiwan yang telah dijangkiti oleh cacing ini mempunyai telur cacing tersebut.  Telur cacing yang berada di persekitaran akan berkembang menjadi larva, dan larva ini tidak nampak oleh mata kasar kita.

Kita boleh dijangkiti apabila larva tersebut menembusi kulit kita.

Tempat kemasukan yang paling utama ialah kulit lembut diantara jari kaki. Tetapi ia juga boleh memasuki melalui kawasan kulit lain.

Figure 3.  Rupa Ancylostoma dibawah mikroskop menunjukkan cacing ini yang mempunyai tiga pasang gigi yang tajam. Dengan gigi yang tajam inilah yang menyebabkan pendarahan dalam usus haiwan

 

Jangan kaki ayam!

Apabila kita berjalan kaki ayam, kita akan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh larva cacing tersebut.

Itulah sebab orang-orang tua pesan pakai selipar apabila jalan. Tak boleh kaki ayam. Hahaha. Diorang dah tahu korang boleh dapat cacing Ancylostoma.

Satu lagi saya nak berpesan, berhati-hatilah semasa kita menikmati keindahan pemandangan di pantai. Tengok juga kalau ada najis  haiwan yang ada, mungkin anda tidak perasan semasa anda ‘berselfi’.

Rasanya kalau korang tiada masalah hidung, korang akan ‘alert’ dengan bau tinja daripada haiwan kesayangan yang memang kurang menyenangkan.

Akan tetapi, kemungkinan yang akan berlaku ialah kanak-kanak yang asyik bermain, membina istana pasir, diorang leka. Mereka tidak perasan kehadiran larva cacing yang bermain-main di tinja haiwan dan mungkin akan dijangkiti oleh larva cacing tanpa disedari.

Figure 4. Pergi mana pun, jangan berkaki ayam ya .Hairan kenapa ya kaki ayam? Haiwan lain pun ada kaki, kaki ayam juga dipilih.

 

Jika dijangkiti?

Mesti semua tertanya-tanya apa akan belaku kalau kita dijangkiti parasit ini?

Penyakit dinamakan ‘Cutenous Larva Migran’ atau singkatannya CLM.

Ia dicirikan dengan keradangan pada kulit. Orang tua-tua dulu sebut ‘Gatal Tanah’. Kita akan ‘’gatai” yang amat sangat dan tidak berhenti menggaru setelah larva  cacing ini menembusi kulit kita.

Figure 5. Cutaneous Larva Migran atau CLM boleh berlaku dengan jangkitan cacing Ancylostoma. Gambar ini diambil di laman sesawang https://wwwnc.cdc.gov/eid/article/15/11/09-0261-f1

 

Satu lagi cacing gelang: Toxocara 

Ada lagi satu cacing yang dinamakan Toxocara yang boleh menjangkiti tuan punya haiwan kalau mereka tidak menjaga kebersihan.

Tidak seperti Ancylostoma dimana larva menembusi kulit kita.

Toxocara  boleh dijangkiti jika kita termakan benda-benda kotor (najis) yang mengandungi telur cacing tersebut.

Yang sedihnya, kanak-kanak biasanya tertelan benda-benda kotor yang mempunyai telur cacing ini ketika bermain di taman permainan dimana terdapat pasir-pasir yang tercemar dengan najis haiwan.

Apakah simptom ?

Simptom yang direkodkan oleh ramai menunjukkan tidak teruk. Akan tetapi, ada kes merekodkan buta sebelah mata. Ini dinamakan ‘ocular toxocariasis’. Ini terjadi apabila penyakit ini mencapai tahap yang teruk.

Figure 6. Toxocara dewasa yang mempunyai ‘alae’ di lehernya.

 

 

Pencegahan?

Ada tak cara nak mencegahnya?

Mestilah ada. Jika kita bijak menjaga kebersihan dan ilmu didada, In Shaa Allah, penyakit ini boleh dicegah.

Antara pencegahan yang  perlu diamalkan :

  1. Memakai kasut atau selipar ketika berjalan diluar terutamanya kanak-kanak.
  2. Mencegah pembuangan tinja haiwan kesayangan kita dimerata tempat.
  3. Membawa haiwan- kesayangan berjumpa dengan doktor veterinar bagi mendapatkan ubat cacing.
  4. Membasuh tangan dengan sabun setelah memegang haiwan dan selepas kita ‘handling’ pasir ‘tandas’ kucing dan anjing kita.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Boleh ‘share’ kepada semua terutamanya pencinta haiwan.

Figure 7. Staf Fakulti Perubatan Veterinar bergambar dengan pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Selangor .Kempen kesedaran penyakit zoonosis dikalangan pelajar-pelajar sekolah diadakan bagi memberikan pengetahuan kepada mereka tentang penyakit zoonosis, bagaimana ianya merebak dan cara-cara pencegahan.

 

v

Dr Nur Mahiza Md Isa
Pengkaji cacing dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 05/07/2019 | Kemaskini: 29/07/2019 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3800
+603 9769 1971
B1566186711