KEMPEN PEMANDULAN KUCING – POTONG-ROYONGâ„¢ BERJAYA MENCAPAI SASARAN | FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
» NEWS » KEMPEN PEMANDULAN KUCING – POTONG-ROYONGâ„¢ BERJAYA MENCAPAI SASARAN

KEMPEN PEMANDULAN KUCING – POTONG-ROYONG™ BERJAYA MENCAPAI SASARAN


SERDANG , 7-12 Mac 2023, Fakulti Perubatan Veterinar UPM telah terlibat dengan program sukarelawan “Potong-royong™” iaitu program pemandulan kucing secara besar-besaran di Kampung Batu 14, Hulu Langat, Selangor. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Menolong Haiwan (SPCA) Selangor dengan kerjasama FPV UPM, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA). Program tersebut telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Seramai 122 orang sukarelawan pelajar doktor perubatan veterinar daripada tahun pertama (DVM1) sehingga tahun akhir (DVM5) dan 17 orang pensyarah fakulti telah bersama-sama menjayakan program ini.

Program ini pada awalnya mensasarkan 500 ekor kucing, tetapi telah menerima secara keseluruhan sebanyak 555 ekor kucing untuk dimandulkan dengan pecahan 336 ekor kucing betina dan 219 ekor kucing jantan. Selain kucing peliharaan, terdapat juga pecinta haiwan yang mengambil kesempatan ini untuk membawa kucing terbiar untuk dimandulkan bagi membantu mengawal pembiakan dan populasi kucing di sekitar Selangor.

Selain proses pemandulan, pemilik kucing juga turut mendapatkan pemeriksaan kesihatan kucing secara percuma, termasuk pemberian vaksinasi, ubat cacing dan ubat kutu. Jumlah bilangan kucing yang telah mendapatkan pemeriksaan percuma ini adalah sebanyak 155 ekor. Kempen pemandulan kucing ini di bawah subsidi pendanaan ‘Stray Free Selangor’, di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Segala proses pemandulan dan pemeriksaan kesihatan kucing dilaksanakan oleh doktor perubatan veterinar yang bertauliah.

Menurut Dr Farina Mustaffa Kamal, Ketua Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar dan juga selaku penyelaras program bagi pihak FPV UPM, program ini dijalankan atas tujuan untuk mengawal populasi kucing sekitar kawasan Hulu Langat dan Selangor secara keseluruhan, dan sekaligus sebagai pendedahan kepada masyarakat setempat tentang kepentingan pemandulan dan pemeriksaan kesihatan bagi mengawal penyebaran penyakit berjangkit seperti feline infectious peritonitis serta penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia seperti sporotrichosis.

Selain daripada pendanaan Stray Selangor Fund, program ini juga mendapat tajaan Boehringer-Ingelheim, Rhone Ma, Royal Canin, MSD Animal Health, Ritma Prestasi, Elanco, Vet Partners, Mentakab Veterinary Clinic dan Taqwa Veterinary Clinic. Pihak FPV UPM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan, pemilik kucing dan penyumbang dana. Program Potong-royong™ 2.0 dijangka akan dilaksanakan di Klang pada hujung tahun ini.

Diharapkan dengan sumbangan orang ramai melalui Tabung Kebajikan Haiwan, kesinambungan program ini di masa hadapan dapat membantu dalam pengawalan populasi serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemilikan haiwan bertanggungjawab yang secara tidak langsung dapat mengurangkan penyebaran penyakit berbahaya dan berjangkit di kalangan kucing dan anjing peliharaan dan terbiar. - Berita disediakan oleh Dr Azalea Hani Othman.

Date of Input: 28/03/2023 | Updated: 28/03/2023 | mjamil

MEDIA SHARING

FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEbDAf~