UPM Perkasa Penternak Ayam Kampung Kuala Selangor Melalui Program Pemindahan Ilmu Veterinar | FACULTY OF VETERINARY MEDICINE vet
» NEWS » UPM Perkasa Penternak Ayam Kampung Kuala Selangor Melalui Program Pemindahan Ilmu Veterinar

UPM Perkasa Penternak Ayam Kampung Kuala Selangor Melalui Program Pemindahan Ilmu Veterinar

Barisan pakar veterinar bergambar bersama peserta dan pengusaha ladang ternakan ayam kampung Jasa Jaya Agrofarm dalam Program Pemindahan Ilmu Bersama Penternak Ayam Kampung.

 

UPM Perkasa Penternak Ayam Kampung Kuala Selangor Melalui Program Pemindahan Ilmu Veterinar

 

Kuala Selangor, 8 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengorak langkah dalam memperkasa komuniti penternakan tempatan melalui satu program berimpak tinggi yang telah berlangsung pada 8 Mei 2025, bertempat di De Palma Resort dan Ladang Ayam Kampung Jasa Jaya Agrofarm, Kuala Selangor.

Program bertajuk "Pemindahan Ilmu Bersama Penternak Ayam Kampung: Impak Penyakit Berjangkit, Kaedah Pengambilan Sampel dan Kawalan Penyakit" ini merupakan satu inisiatif komuniti Fakulti Perubatan Veterinar UPM, dengan kerjasama rapat daripada pengusaha ternakan ayam kampung, En Mohd Yazid Sulaiman.

Program ini diketuai oleh Dr Norfitriah Mohamed Sohaimi, bersama lima pensyarah veterinar iaitu Dr Mazlina Mazlan, Prof Madya Dr Nor Yasmin Abd Rahaman, Prof Madya Dr Nur Fazila Saulol Hamid, Prof. Madya Dr Nur Mahiza Md Isa dan Prof. Madya Dr Lokman Hakim Idris.

Sesi pagi telah dimulakan dengan perkongsian ilmu dan ceramah di De Palma Resort, merangkumi topik berkaitan penyakit berjangkit dalam ayam kampung, teknik pengambilan sampel, dan strategi kawalan penyakit.

Sesi petang diteruskan dengan aktiviti praktikal secara langsung di Ladang Ayam Kampung Jasa Jaya Agrofarm, yang memberi peluang kepada peserta untuk menjalani demonstrasi dan latihan kendalian pengambilan sampel pada ayam.

Seramai 12 penternak ayam kampung dari sekitar Selangor dan Johor telah menyertai program ini, dan mereka menerima latihan intensif secara teori dan praktikal yang diselaraskan oleh pakar-pakar veterinar negara.

Objektif utama program ini adalah menyampaikan ilmu mengenai penyakit berjangkit, meningkatkan keupayaan penternak dalam pengendalian sampel dan pencegahan penyakit serta mewujudkan jaringan kerjasama antara pakar veterinar dan penternak tempatan bagi menyokong kelestarian pengeluaran daging ayam kampung melalui pendekatan saintifik dan Lestari.

“Ini adalah antara usaha UPM dalam memastikan ilmu yang ada di universiti dapat disalurkan kepada komuniti secara langsung,” kata Dr Norfitriah dalam sesi penutup. Program ini bukan sahaja mencerminkan iltizam universiti dalam menyokong industri penternakan nasional, malah membawa aspirasi moto UPM, ‘Berilmu Berbakti’

 

Program dimulai dengan pengenalan dan ucapan alu-aluan oleh Ketua Program, Dr Norfitriah Mohamed Sohaimi.

 

Sebahagian peserta yang hadir dalam sesi pagi Program Pemindahan Ilmu di De Palma Resort, Kuala Selangor.

 

Latihan praktikal kesihatan ayam kampung pada sesi petang: Pemeriksaan ayam oleh pakar veterinar bersama komuniti yang berlangsung di ladang ayam kampung Jasa Jaya Agrofarm.

 

Date of Input: 13/05/2025 | Updated: 13/05/2025 | m_nazmi

MEDIA SHARING

FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (09:39:25am-09:44:25am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]