Seminar VPQM Perkukuh Kefahaman Pemantauan Kualiti Produk Veterinar Berdaftar
Oleh: Nur Syazlina Omar | syazlina@upm.edu.my
SERDANG, 13 Julai – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Unit Pembangunan Pendidikan Berterusan (Vet-CPD) telah menganjurkan “Seminar Pemantauan Kualiti Produk Veterinar Berdaftar (VPQM): Perspektif Regulatori, Farmakologi Perbandingan dan Kesiapsiagaan Industri” pada 5 Ogos 2026 bertempat di Bilik Jemaah, FPV.
Seminar ini dianjurkan sebagai satu platform perkongsian ilmu dan penyelarasan kefahaman berkaitan pelaksanaan Veterinary Product Quality Monitoring (VPQM), khususnya dalam aspek pemantauan pasca pendaftaran bagi produk veterinar berdaftar. Program ini turut memberi penekanan kepada kepentingan memastikan produk veterinar yang berada di pasaran terus memenuhi standard kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang ditetapkan.
Pengisian seminar merangkumi perkongsian berkaitan perspektif regulatori, mekanisme pemantauan kualiti produk, pengurusan isu out-of-specification (OOS), tindakan panggil balik serta pengendalian aduan kualiti produk veterinar. Peserta turut didedahkan kepada kepentingan farmakologi perbandingan antara spesies haiwan serta pertimbangan berkaitan produk antimikrobial untuk haiwan pengeluar makanan dalam konteks pemantauan kualiti dan kesihatan awam veterinar.
Program ini melibatkan penglibatan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta wakil Malaysian Animal Health and Nutrition Industries Association (MAHNIA), yang berkongsi perspektif regulatori dan industri dalam memastikan pelaksanaan pemantauan kualiti produk veterinar dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan FPV UPM dalam memperkukuh pembangunan kapasiti profesional serta kerjasama strategik antara institusi akademik, pihak regulatori dan industri bagi menyokong pemantauan serta jaminan kualiti produk veterinar berdaftar di Malaysia.



Date of Input: 13/08/2026 | Updated: 13/08/2026 | m_nazmi
