PROGRAM SEMARAK MERDEKA UPM 2025: KREATIVITI, PATRIOTISME & KELESTARIAN ALAM BERPADU DI FPV
Serdang, 15 Ogos 2025 – Semangat kemerdekaan terus berkobar di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila berlangsungnya sesi penilaian Pertandingan Kibar Jalur Gemilang sempena Program Semarak Merdeka UPM 2025. Acara anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) ini bukan sekadar pertandingan, malah menjadi wadah memperlihatkan kreativiti, bakat serta kecintaan warga kampus terhadap tanah air.
Hadir memeriahkan acara ialah Pengarah PKKSSAAS, En. Husalshah Rizal Hussian, bersama barisan juri jemputan. Ketibaan mereka disambut mesra oleh YBhg. Prof. Dr. Goh Yong Meng, Dekan FPV UPM, bersama pengurusan serta warga fakulti yang bersemangat menghidupkan suasana bulan kemerdekaan.
Antara tarikan utama program ialah persembahan khas dan pameran seni kitar semula, termasuk replika Menara Berkembar KLCC yang dihasilkan sepenuhnya daripada botol plastik terpakai, selain hiasan bunga kreatif daripada bahan kitar semula. Persembahan ini bukan sahaja memukau perhatian, malah menyampaikan mesej penting mengenai kelestarian alam sekitar.
Tidak ketinggalan, rekaan pakaian hiasan residen dari Hospital Veterinar Universiti turut dipamerkan di Bangunan Foyer FPV.
Koleksi tersebut menyerlahkan gabungan seni, kreativiti dan identiti veterinar dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.
Program ini membuktikan bahawa penghayatan kemerdekaan boleh dizahirkan dengan pelbagai cara – daripada kibaran Jalur Gemilang yang megah, persembahan seni yang kreatif, hinggalah usaha menjaga bumi tercinta melalui amalan lestari. Inilah wajah UPM – berilmu, berbakti dan sentiasa berpandangan ke hadapan.
Date of Input: 18/08/2025 |
Updated: 18/08/2025 | m_nazmi
MEDIA SHARING