Hari Warga FPV ke-103: Perkongsian Amanat dan Perancangan Strategik 2026
Oleh @hafidz_hitam@upm.edu.my
Serdang, 6 Februari 2026 – Hari Warga Fakulti Perubatan Veterinar (HWFPV) kali ke-103 telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Fakulti Perubatan Veterinar (FPV). Sempena sambutan Hari Warga pertama bagi tahun 2026, sesi pengisian telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dekan FPV, Profesor Dr. Goh Yong Meng.
Dalam ucapannya, beliau berkongsi intipati Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor UPM 2026 serta Karnival ‘True North Putra 2026’ yang telah berlangsung pada 30 Januari 2026. Selain itu, beliau turut membentangkan perancangan dan fokus strategik FPV bagi tahun 2026.
Antara aspek utama yang diberi penekanan ialah keperluan sumber manusia yang mencukupi dan kompeten, melibatkan kedua-dua kumpulan akademik dan pengurusan, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik di peringkat fakulti. Perancangan pengambilan di bawah skim Tenaga Pengajar Muda (TAM) serta lantikan pensyarah lepasan Ijazah Sarjana (Master) merupakan antara pendekatan strategik yang dirangka bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar selaras dengan nisbah pelajar.
Beliau juga menegaskan kepentingan memacu perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah kompeten dalam aspek kebajikan haiwan, sejajar dengan tuntutan global masa kini.
Selain itu, perancangan pembangunan infrastruktur fakulti turut dikongsi, termasuk cadangan penambahan ruang dan bangunan di kompleks fakulti bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kemudahan, khususnya untuk pelajar. Majlis turut diserikan dengan sesi soal jawab yang melibatkan seluruh warga fakulti bersama pihak pengurusan sebagai platform interaksi dua hala ke arah penambahbaikan berterusan.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya, satu sesi perkongsian berkaitan Program Penghayatan Kerjaya Staf yang telah berlangsung di Himalaya Camp, Gopeng, Perak pada 23 hingga 25 Januari 2026 telah disampaikan oleh Dr. Wan Nor Fitri Wan Jaafar selaku Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Veterinar (KSRV). Sambutan Hari Warga FPV kali ke-103 diakhiri dengan acara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran staf bagi bulan Januari dan Februari.

Date of Input: 09/02/2026 | Updated: 09/02/2026 | m_nazmi
