Penceramah Jemputan bergambar bersama para peserta program
SERDANG, 22 April – Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Veterinary Ophthalmology Seminar and iCARE Tonovet Tonometer Handover Ceremony semalam di Auditorium Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), dengan kerjasama iCare Finland Oy dan Anihealth Sdn. Bhd.
Program yang berlangsung adalah bertujuan memperkasa ilmu dan kemahiran klinikal dalam bidang oftalmologi veterinar, khususnya berkaitan diagnosis dan rawatan penyakit mata pada anjing dan kucing. Seramai 200 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang veterinar telah hadir untuk mengikuti sesi ilmiah ini.
Dua penceramah jemputan, Dr. Sim Zhi Hui dari FPV, UPM dan Prof. Madya Dr. Nalinee Tuntivanich dari Chulalongkorn University, Thailand telah berkongsi kepakaran mereka dalam pemeriksaan mata, teknik diagnosis yang tepat, dan pelan rawatan berdasarkan pendekatan berasaskan bukti (evidence-based practice).
Salah satu sorotan utama seminar ialah majlis penyerahan satu unit iCARE TONOVET Plus, alat pengukur tekanan intraokular terkini, sumbangan iCare Finland Oy kepada fakulti. Peralatan ini dijangka memperkukuh keupayaan diagnostik dalam pengurusan kes oftalmologi haiwan kesayangan di Hospital Veterinar Universiti, UPM.
Selain pembentangan ilmiah, peserta turut diberi peluang berinteraksi secara langsung dengan pakar dalam sesi soal jawab yang interaktif dan bermanfaat. Dengan kelangsungan seminar ini, ia dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti rawatan veterinar di Malaysia dalam bidang oftalmologi haiwan kesayangan.
Date of Input: 24/04/2025 | Updated: 24/04/2025 | m_nazmi
