Fakulti Perubatan Veterinar UPM Terima Kunjungan Akademik Pelajar Farmasi UiTM Puncak Alam | FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
» NEWS » Fakulti Perubatan Veterinar UPM Terima Kunjungan Akademik Pelajar Farmasi UiTM Puncak Alam

Fakulti Perubatan Veterinar UPM Terima Kunjungan Akademik Pelajar Farmasi UiTM Puncak Alam

Fakulti Perubatan Veterinar UPM Terima Kunjungan Akademik Pelajar Farmasi UiTM Puncak Alam
 
Oleh: Dr. Hidayat Mohd. Yusof | hidayatyusof@upm.edu.my
 
SERDANG, 3 Jun – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM telah menerima kunjungan rombongan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam bagi tujuan lawatan akademik dan pendedahan industri.
 
Rombongan tersebut terdiri daripada 31 orang pelajar dan enam orang pegawai pengiring yang diketuai oleh Dr. Noreen Hussain. Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peranan dan pengurusan farmasi dalam bidang perubatan veterinar, khususnya berkaitan penggunaan ubat-ubatan, pengendalian preskripsi serta kepentingan farmasi dalam menyokong perkhidmatan kesihatan haiwan.
 
Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Timbalan Dekan Hospital Veterinar UPM, Profesor Dr. Mohd Hezmee Mohd Noor, yang menerangkan latar belakang FPV serta peranan Hospital Veterinar Universiti sebagai pusat perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran klinikal. Beliau turut berkongsi mengenai fungsi hospital dalam menyokong latihan pelajar, penyampaian perkhidmatan kesihatan haiwan serta kepentingan pendekatan pelbagai disiplin dalam bidang perubatan veterinar.
 
Sepanjang lawatan, para peserta dibawa melawat beberapa fasiliti utama di FPV termasuk Muzium Anatomi FPV UPM dan beberapa lokasi di Hospital Veterinar Universiti. Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah wad haiwan besar, wad haiwan kesayangan kecil serta Unit Farmasi Hospital Veterinar Universiti.
 
Melalui lawatan ini, para pelajar berpeluang melihat secara langsung operasi perkhidmatan hospital veterinar serta memahami pengurusan farmasi veterinar dalam persekitaran klinikal. Pendedahan tersebut memberikan gambaran yang lebih luas mengenai aplikasi ilmu farmasi, bukan sahaja dalam bidang perubatan manusia tetapi juga dalam bidang perubatan veterinar.
 
Selain itu, program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu antara bidang farmasi dan perubatan veterinar, sekali gus meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan pendekatan antara disiplin dalam memastikan penggunaan ubat yang berkesan, selamat dan bertanggungjawab.
FPV UPM merakamkan penghargaan kepada Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam atas kunjungan tersebut dan berharap agar lawatan seumpama ini dapat terus memperkukuh hubungan akademik serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
 

Date of Input: 08/06/2026 | Updated: 08/06/2026 | m_nazmi

MEDIA SHARING

FACULTY OF VETERINARY MEDICINE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:07:15am-08:12:15am, 13 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]