UVH Tingkat Kompetensi Pegawai Veterinar Melalui Bengkel CPR Lanjutan | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » UVH Tingkat Kompetensi Pegawai Veterinar Melalui Bengkel CPR Lanjutan

UVH Tingkat Kompetensi Pegawai Veterinar Melalui Bengkel CPR Lanjutan

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 10 Jun – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan “Bengkel Pemantapan CPR Lanjutan Haiwan Kesayangan Siri 1/2026” pada 5 Jun 2026 di Dewan Kuliah Veterinar B, FPV, UPM. Bengkel ini dianjurkan khusus bagi meningkatkan kesiapsiagaan Pegawai Veterinar dalam mengendalikan kecemasan kardiopulmonari melalui pengaplikasian Advanced Life Support (ALS) berasaskan RECOVER Guidelines 2024.

 

Sebagai salah satu situasi kecemasan yang memerlukan tindakan segera dan terancang, kes Cardiopulmonary Arrest (CPA) menuntut tahap kecekapan teknikal yang tinggi dalam kalangan pengamal veterinar. Oleh itu, bengkel ini memberi penekanan kepada pemantapan kefahaman peserta terhadap protokol CPR lanjutan, termasuk pemantauan hemodinamik, penggunaan terapi farmakologi yang bersesuaian, serta pelaksanaan prosedur resusitasi secara sistematik bagi meningkatkan peluang pemulihan pesakit.

 

Seramai 10 orang Pegawai Veterinar telah menyertai program ini yang dijalankan dalam kumpulan kecil bagi membolehkan latihan yang lebih intensif dan berfokus. Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan simulasi dan amali yang direka bentuk menyerupai situasi kecemasan sebenar, sekali gus memberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam persekitaran yang terkawal.

 

Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Tey Yu Chong, Pegawai Veterinar UVH. Melalui sesi perkongsian yang disampaikan, para peserta didedahkan kepada perkembangan terkini dalam CPR veterinar serta kepentingan mematuhi protokol standard bagi memastikan intervensi kecemasan dilaksanakan secara konsisten dan berkesan. “Kejayaan resusitasi bukan sahaja bergantung pada kemahiran individu, malah memerlukan koordinasi pasukan yang berkesan serta penguasaan teknik yang berterusan melalui latihan berkala,” jelas beliau.

 

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen UVH dalam memperkukuh budaya pembelajaran berterusan dan kecemerlangan klinikal dalam kalangan warga kerjanya. Melalui latihan yang berasaskan amalan terbaik semasa, para peserta diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dan kompetensi dalam mengendalikan kes-kes kecemasan kritikal, sekali gus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan veterinar yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi.

 

Demonstrasi algoritma CPR berasaskan RECOVER Guidelines 2024

 

Sesi kuiz interaktif menguji kefahaman peserta

 

Simulasi pengendalian kes Cardiopulmonary Arrest (CPA)

Tarikh Input: 10/06/2026 | Kemaskini: 10/06/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (02:33:13pm-02:38:13pm, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]