Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 20 Mei – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan program “A Practical Clinical Seminar on Parasite Control and Pruritic Skin Diseases in Dogs and Cats” bertempat di Bilik Jemaah, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan kompetensi klinikal dalam pengurusan penyakit kulit serta kawalan parasit haiwan kesayangan. Seminar ini turut menyokong pelaksanaan latihan kompetensi fungsian yang digalakkan bagi meningkatkan tahap profesionalisme warga kerja.
Penganjuran seminar ini memberi penekanan terhadap langkah pencegahan parasit dalam haiwan kesayangan, diagnosis penyakit kulit pruritus dalam kalangan anjing dan kucing serta pendekatan rawatan yang bersesuaian bagi kes melibatkan alahan dan jangkitan. Seminar turut mengetengahkan kepentingan amalan kawalan parasit yang menyeluruh bagi memastikan rawatan yang lebih berkesan, selamat dan menepati aspek kebajikan haiwan.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pegawai akademik, pegawai veterinar, penolong pegawai veterinar, pembantu veterinar, pegawai farmasi dan penolong pegawai farmasi daripada pelbagai pusat tanggungjawab di UPM termasuk UPM Sarawak (UPMS). Penyertaan rentas fakulti dan jabatan ini memperlihatkan penglibatan aktif warga kerja khususnya Skim G (Veterinar) dalam memperkukuh kompetensi profesional serta perkongsian amalan terbaik dalam perkhidmatan veterinar.
Pengisian seminar merangkumi perkongsian berkaitan kawalan parasit, pengurusan penyakit kulit, penggunaan pendekatan terapeutik moden seperti antibodi monoklonal dan inhibitor Janus Kinase (JAK) dalam pengurusan dermatitis atopi serta perkongsian pengalaman klinikal berdasarkan situasi sebenar di fasiliti veterinar. Perkongsian ini memberikan pendedahan praktikal yang relevan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kes dermatologi haiwan kesayangan.
Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Pahang Pharmacy Sdn. Bhd. sebagai rakan industri yang menyokong penganjuran seminar dan memperkukuh jaringan kolaborasi antara industri dan institusi akademik. Melalui program ini, UVH terus menzahirkan komitmen dalam memperkukuh peranannya sebagai hospital pengajaran dan pusat rujukan klinikal yang menekankan amalan veterinar beretika, profesional serta berasaskan ilmu dan teknologi semasa.

Penceramah menyampaikan penerangan berkaitan kawalan parasit

Sesi interaktif menceriakan pengisian program seminar

Peserta meneliti bahan perkongsian seminar
Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | zafarul
