UPM Terima Lawatan Strategik Delegasi Fujian, Perkukuh Kerjasama Industri Veterinar Antarabangsa | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » UPM Terima Lawatan Strategik Delegasi Fujian, Perkukuh Kerjasama Industri Veterinar Antarabangsa

UPM Terima Lawatan Strategik Delegasi Fujian, Perkukuh Kerjasama Industri Veterinar Antarabangsa

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 2 April – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan strategik daripada delegasi Fujian Pet Industry Association, China dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan industri antara kedua-dua pihak. Lawatan ini menjadi platform awal untuk meneroka potensi kolaborasi dalam bidang sains veterinar, industri haiwan kesayangan serta pembangunan latihan profesional.

 

Delegasi telah disambut dalam satu sesi rasmi yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri bin Hj. Md Tamrin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat). Turut hadir, wakil utama delegasi iaitu Presiden China Fujian Pet Service Industry Association, Mr. Chen XiaoWei, bersama barisan ahli delegasi yang lain.

 

Sesi dimulakan dengan pengenalan mengenai peranan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Sudesh Prabhakaran, Timbalan Pengarah (Latihan dan Pembangunan Profesional), CiRNeT. Turut dibentangkan ialah struktur operasi pusat tersebut serta inisiatif strategik seperti URIIS 2026, di samping perbincangan berkenaan potensi kerjasama industri–akademik, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan pemain industri dalam sektor veterinar dan haiwan kesayangan.

 

Seterusnya, sesi pertukaran pandangan bersama para profesor UPM dalam bidang veterinar dan industri haiwan kesayangan telah diadakan. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peranan UPM dalam pembangunan sektor pertanian dan industri haiwan kesayangan di Malaysia, trend penyelidikan semasa dalam bidang perubatan veterinar serta peluang kerjasama penyelidikan dan industri pada masa hadapan.

 

Lawatan diteruskan ke Hospital Veterinar Universiti (UVH) bagi memberi pendedahan kepada delegasi mengenai kemudahan pengajaran dan klinikal serta program akademik berkaitan yang ditawarkan oleh FPV. Secara keseluruhannya, lawatan ini menjadi langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan antarabangsa UPM serta membuka ruang kerjasama strategik yang berimpak tinggi dalam pembangunan industri veterinar dan haiwan kesayangan di peringkat global.

 

Sesi perbincangan dua hala yang berlangsung secara interaktif dan konstruktif

 

Penerangan berkaitan kemudahan dan operasi di Unit Surgeri Pelajar

 

Sesi bergambar di Unit Pengimejan Diagnostik sebagai penutup lawatan

Tarikh Input: 02/04/2026 | Kemaskini: 02/04/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:29:32am-08:34:32am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]