SERDANG, 15 Julai – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Hari Bersama Penternak Ladang Angkat PUTRA 2025 yang berlangsung di Bilik Jemaah, FPV. Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang dan Eksotik (JPPHLE), Hospital Veterinar Universiti (UVH), serta Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar (JPKV).
Program tersebut menghimpunkan penternak, pelajar, pegawai veterinar, dan warga akademik bagi memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas perkongsian ilmu dalam bidang penternakan ruminan.
Program ini merupakan sebahagian daripada pengajaran Kursus Amalan Klinikal Veterinar II (VPK4944) dan turut disokong menerusi Dana SULAM@UPM bagi Semester 2, Sesi 2024/2025.
Seramai 85 peserta terlibat dalam program ini, terdiri daripada 36 penternak Ladang Angkat PUTRA, 18 pelajar Tahun 5 Doktor Perubatan Veterinar (DPV), serta 31 kakitangan akademik dan sokongan FPV.
Sesi pagi dimulakan dengan dua pembentangan utama. Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ramanoon membentangkan tajuk “Dari Kaki ke Prestasi: Tangani Ketempangan sebelum Terlambat”, manakala Prof. Dr. Abdul Aziz Saharee berkongsi mengenai “Program Kesihatan Gerompok dan Pendekatan myGAP”.
Pada sebelah tengah hari, sesi perbincangan kumpulan fokus bersama para penternak diadakan, yang bertujuan mendapatkan maklum balas berkaitan hasil analisis ladang yang dijalankan oleh para pelajar.
Majlis penutup menyaksikan penyampaian token penghargaan kepada penceramah dan peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan serta komitmen mereka sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh hubungan dua hala antara institusi akademik dan komuniti penternak. Ia turut menyokong pembangunan industri ternakan negara serta menjamin keterjaminan makanan menerusi pendekatan pemindahan ilmu yang mampan dan berimpak tinggi.


Tarikh Input: 15/07/2025 | Kemaskini: 23/07/2025 | zafarul
