UPM Perkasa Industri Ekuin Melalui Kursus Tajaan Lembaga Totalisator Malaysia | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » UPM Perkasa Industri Ekuin Melalui Kursus Tajaan Lembaga Totalisator Malaysia

UPM Perkasa Industri Ekuin Melalui Kursus Tajaan Lembaga Totalisator Malaysia

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 8 Julai - Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Asas Pengurusan dan Kesihatan Kuda pada 23 hingga 24 Jun 2026 di Perbadanan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme peserta dalam pengurusan, penjagaan serta kesihatan kuda.

 

Program ini menggabungkan sesi teori dan latihan praktikal meliputi pengurusan kesihatan, nutrisi, rawatan luka, pengendalian kes kecemasan, kebajikan kuda, penyakit muskuloskeletal, penilaian ketempangan dan pengurusan kes kolik. Pengisian tersebut memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam bidang perubatan dan pengurusan ekuin.

 

Kursus ini menghimpunkan 30 peserta daripada agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Putrajaya (PPj), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skuadron Istiadat Berkuda (SIB). Perkongsian ilmu disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin, Dr. Noorashimah Roslim dan Dr. Syahirah Ahmad Affandi daripada Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

 

Dalam ucapan majlis penutupan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Totalisator Malaysia, Puan Nor Hashimah Hashim berkata, “Pihak Lembaga Totalisator Malaysia sentiasa menyokong penuh inisiatif pemindahan ilmu seperti ini. Kerjasama strategik bersama Fakulti Perubatan Veterinar UPM merupakan pelaburan berharga demi memastikan kebajikan dan kesihatan haiwan kerja kita sentiasa berada pada tahap terbaik.”

 

Beliau berharap kemahiran yang dipelajari dapat dimanfaatkan sepenuhnya di agensi masing-masing. Kursus yang ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Totalisator Malaysia ini turut membuktikan komitmen UVH dalam memperkukuh pembangunan kompetensi serta kerjasama strategik bagi memajukan industri ekuin negara.

 

Demonstrasi anatomi kaki kuda

 

Pemeriksaan fizikal kesihatan kuda

 

Praktikal pembalutan kaki kuda

Tarikh Input: 08/07/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:45:10am-08:50:10am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]