SERDANG, 16 Julai – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama My Vet Care Sdn. Bhd., pengedar utama produk diagnostik Bionote, dalam usaha memperkukuh penyelidikan berkaitan penyakit haiwan dan pemerkasaan pendidikan klinikal.
Majlis menandatangani MoA ini menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam pembangunan kit ujian dan penganalisis diagnostik bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan pengajaran di bidang perubatan veterinar. Inisiatif ini dijangka akan menyumbang kepada kemajuan teknologi diagnostik tempatan dan memperluas aplikasi industri dalam sektor kesihatan haiwan.
Menurut Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, FPV UPM, Dr. Khor Kuan Hua, perkongsian ini membantu mempercepatkan pemindahan teknologi dari industri ke universiti dan pada masa sama, memudahkan pelaksanaan penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang diagnostik haiwan.
Kerjasama strategik ini turut memberi peluang kepada pelajar program Doktor Perubatan Veterinar (DVM) tahun 3 hingga 5 untuk terlibat secara langsung dalam penggunaan peralatan diagnostik semasa pengajian. Pendekatan ini menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman dan melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi keperluan sebenar industri veterinar.
Sementara itu, wakil My Vet Care Sdn. Bhd., Dr. Ng Shing Wei menyatakan komitmen syarikat untuk terus menyokong agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi pengajian tinggi melalui penyediaan peralatan diagnostik yang menepati piawaian saintifik dan klinikal.
MoA ini akan berkuat kuasa selama lima tahun bermula dari tarikh ia ditandatangani, dan dijangka membuka laluan kepada kerjasama yang lebih meluas dalam bidang inovasi, penyelidikan serta latihan industri di masa akan datang.


Tarikh Input: 16/07/2025 | Kemaskini: 16/07/2025 | zafarul
