Teknologi CT Scan Perkukuh Diagnosis Dan Rawatan Penyakit Telinga Veterinar | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Teknologi CT Scan Perkukuh Diagnosis dan Rawatan Penyakit Telinga Veterinar

Teknologi CT Scan Perkukuh Diagnosis dan Rawatan Penyakit Telinga Veterinar

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 26 Mei – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan “Computed Tomography of Ear Disease Seminar” pada 25 Mei 2026 bertempat di Bilik Jemaah, FPV, UPM. Seminar ini dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmu klinikal berterusan berkaitan aplikasi imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dalam diagnosis penyakit telinga veterinar.

 

Penganjuran seminar ini memberi fokus terhadap penggunaan teknologi pengimejan veterinar yang semakin berkembang dalam meningkatkan ketepatan diagnosis dan keberkesanan rawatan, khususnya melibatkan penyakit telinga dalam haiwan kecil. Pengimejan CT dilihat mampu membantu pengesanan lesi, perubahan proliferatif serta penglibatan tulang secara lebih komprehensif dan sistematik.

 

Program ini melibatkan penyertaan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan pegawai akademik, Pegawai Veterinar dan Juru X-Ray. Seminar ini turut mendapat sokongan strategik daripada Infinity Medical Sdn. Bhd. dalam usaha memperkasa pembangunan kompetensi penggunaan CT Scan Sinovision AlphaCT 328Plus di UVH.

 

Perkongsian telah disampaikan oleh Dr. Ikhwan Saufi bin Ahamad Azahari, Felo Pengajar Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, FPV UPM. Menurut beliau, “Penggunaan CT Scan membolehkan penilaian struktur telinga dilakukan dengan lebih tepat, sekali gus membantu perancangan rawatan dan pembedahan secara lebih sistematik serta berkesan.” Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan teknologi pengimejan veterinar kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan diagnostik moden.

 

Melalui penganjuran seminar ini, UVH terus komited dalam memperkukuh pembangunan kompetensi klinikal serta memperluas penggunaan teknologi pengimejan lanjutan dalam amalan veterinar moden. Program seperti ini diharapkan dapat memperkukuh latihan klinikal berterusan, meningkatkan kefahaman peserta terhadap teknologi diagnostik semasa serta mempererat kerjasama strategik antara institusi dan pihak industri veterinar.

 

Pameran teknologi CT Scan oleh Infinity Medical

 

Ceramah diagnosis penyakit telinga oleh Dr. Ikhwan Saufi

 

Peserta mengikuti seminar dengan penuh perhatian

Tarikh Input: 26/05/2026 | Kemaskini: 26/05/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (01:48:18pm-01:53:18pm, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]