Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 14 Januari – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima sumbangan produk berkaitan kebajikan haiwan daripada Ceva Animal Health Malaysia Sdn. Bhd. dalam satu majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat UVH. Majlis ini diadakan sebagai simbolik penyerahan sumbangan serta sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan pihak industri kepada UVH, khususnya dalam memperkukuh amalan rawatan berteraskan kebajikan haiwan.
Sumbangan yang diterima merangkumi produk aromaterapi Feliway dan kelengkapan sokongan bagi operasi pemeriksaan dan rawatan terhadap kucing dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.00.
Majlis tersebut dihadiri barisan pengurusan UVH yang diwakili oleh Dr. Nor-Alimah Rahman, Pengurus Operasi dan Teknikal UVH dan wakil daripada syarikat Ceva Animal Health Malaysia Sdn. Bhd. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama antara institusi akademik dan industri dalam menyokong pembangunan perkhidmatan veterinar yang berdaya maju.
Dr. Nor-Alimah Rahman merakamkan penghargaan kepada pihak Ceva Animal Health Malaysia Sdn. Bhd. atas keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan dalam usaha menyokong kebajikan haiwan ini. Sokongan seumpama ini dilihat sebagai pemangkin kepada komitmen berterusan UVH dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan veterinar yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa serta seterusnya menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk penyelidikan di Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

Perbincangan dua hala untuk kerjasama strategik akan datang

Demonstrasi cara pemasangan dan penggunaan produk

Kucing pertama yang merasmikan penggunaan produk sumbangan
Tarikh Input: 15/01/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | zafarul
