Seminar Oftalmologi Veterinar Tingkat Kemahiran Klinikal Pengamal | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Seminar Oftalmologi Veterinar Tingkat Kemahiran Klinikal Pengamal

Seminar Oftalmologi Veterinar Tingkat Kemahiran Klinikal Pengamal

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 10 Februari – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan (JPPHK), dengan kerjasama Anihealth Sdn. Bhd., telah menganjurkan program “Eye Essentials: Practical Ophthalmology for Cats & Dogs” yang berlangsung di Bilik Jemaah, FPV.

 

Program ini dianjurkan dan diketuai oleh Profesor Madya Dr. Khor Kuan Hua sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang oftalmologi veterinar, khususnya berkaitan pemeriksaan mata, diagnosis serta pengurusan penyakit mata dalam kalangan anjing dan kucing. Inisiatif ini selari dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan oftalmologi veterinar yang berkualiti serta kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemilik haiwan kesayangan terhadap kepentingan kesihatan mata.

 

Seramai 70 peserta yang terdiri daripada pegawai veterinar, pengamal klinikal dan warga FPV telah menyertai seminar ini. Pengisian program merangkumi sesi ceramah, kajian kes dan latihan amali yang menekankan pendekatan sistematik dalam pemeriksaan mata serta aplikasi amalan klinikal berasaskan bukti.

 

Seminar ini menampilkan Dr. Sim Zhi Hui, Felo Pengajar JPPHK, sebagai penceramah utama. Beliau berkongsi kepakaran dalam pelbagai aspek kesihatan mata haiwan kesayangan, teknik asas pemeriksaan oftalmologi, penggunaan farmakoterapeutik mata di Malaysia, serta pengendalian kes-kes klinikal yang lazim ditemui dalam amalan harian.

 

Sesi amali dan perbincangan interaktif memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan secara langsung menggunakan peralatan oftalmologi yang bersesuaian. Pendekatan ini membantu meningkatkan kefahaman, ketepatan diagnosis serta keyakinan dalam merangka pelan rawatan yang selamat dan berkesan.

 

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Perubatan Veterinar, UPM dalam memperkukuh kecekapan profesional pengamal veterinar serta menyokong peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan haiwan kesayangan di peringkat klinikal.

 

Tarikh Input: 10/02/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (08:37:29am-08:42:29am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]