AMPANG JAYA, 3 Ogos 2024– Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor, bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) telah berjaya melaksanakan program Potong RoyongTM 4.0 bermula daripada 28 Julai 2024 sehingga 3 Ogos 2024 yang lalu. Program ini dijalankan daripada 10 pagi hingga 5 petang yang turut melibatkan sukarelawan doktor veterinar bertauliah serta pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM.
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Profesor Dr. Goh Yong Meng berkata program ini merupakan salah satu inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemandulan kucing dan anjing serta menyayangi haiwan peliharaan. Kelab Prokasih yang dikelolakan pelajar DPV UPM juga telah bersama-sama dalam program Potong-RoyongTM 4.0 dalam menyampaikan ilmu berkaitan tanggungjawab pemilikan haiwan.




Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke program Potong-RoyongTM 4.0 di SPCA Ampang pada 31 Julai 2024 serta merasmikan program ini. Baginda turut berkenan mengunjungi aktiviti kempen seperti pemeriksaan kesihatan kucing, pendidikan mengenai penjagaan haiwan peliharaan, kepentingan pemandulan dan kepentingan vaksinasi bagi kucing serta anjing.
Prosedur pemandulan kucing dan anjing ini dikenakan bayaran tetapi subsidi diberikan di bawah pendanaan ‘Stray Free Selangor’, di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bersama kerjasama dan tajaan daripada beberapa agensi dan syarikat berkaitan. Melalui program ini, sebanyak 680 ekor kucing (508 ekor) dan anjing (172 ekor) telah berjaya dimandulkan. Dalam masa yang sama, sebanyak 64 ekor haiwan peliharaan yang terdiri daripada 38 ekor kucing dan 26 ekor anjing telah divaksin oleh Doktor Perubatan Veterinar dari UPM.
Tarikh Input: 09/08/2024 | Kemaskini: 09/08/2024 | azwaar
