Pemakanan Haiwan Berasaskan Sains: Kunci Kesihatan Dan Kesejahteraan Haiwan Peliharaan | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Pemakanan Haiwan Berasaskan Sains: Kunci Kesihatan dan Kesejahteraan Haiwan Peliharaan

Pemakanan Haiwan Berasaskan Sains: Kunci Kesihatan dan Kesejahteraan Haiwan Peliharaan

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 29 Jun - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Kebajikan Haiwan@VET, UPM Siri 5/2026 bertajuk “Sains di Sebalik Mangkuk Makanan” pada 19 Jun 2026. Program ini disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hasliza Abu Hassim, Profesor di FPV dan Timbalan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM.

 

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pemakanan yang betul untuk haiwan peliharaan berdasarkan prinsip sains pemakanan. Perkongsian memberi penekanan bahawa pemilihan makanan tidak seharusnya hanya berdasarkan kuantiti, tetapi perlu mengambil kira kandungan nutrien, keseimbangan diet dan keperluan fisiologi haiwan mengikut peringkat umur serta status kesihatan.

 

Sepanjang sesi berlangsung, peserta didedahkan kepada konsep diet lengkap dan seimbang yang membekalkan nutrien penting seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin, mineral dan air dalam nisbah yang sesuai. Turut dibincangkan ialah kesan kekurangan atau lebihan nutrien terhadap kesihatan haiwan serta kepentingan memahami maklumat yang tertera pada label makanan sebelum membuat pilihan.

 

Menurut penceramah, “Mangkuk makanan yang penuh tidak semestinya memenuhi keperluan nutrisi haiwan, manakala makanan dalam kuantiti yang lebih kecil mungkin mengandungi nutrien yang lebih padat dan lengkap.” Beliau turut menjelaskan bahawa pemakanan yang tepat memainkan peranan penting dalam menyokong tumbesaran, kesihatan dan kesejahteraan haiwan sepanjang hayat, diakhiri dengan mesej utama beliau sebelum tamat ceramah iaitu ‘Mangkuk Kecil, Impak Kehidupan Yang Besar’.

 

Melalui penganjuran program ini, UPM terus komited dalam memperkasa kesedaran masyarakat mengenai aspek pemakanan haiwan berasaskan sains. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat membantu pemilik haiwan membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan makanan serta meningkatkan kesejahteraan haiwan peliharaan melalui amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.

 

Dr. Mohd Akmal mengikuti sesi webinar sebagai moderator jemputan

 

Prof. Dr. Hasliza menyampaikan ceramah secara dalam talian

 

Suasana urus setia mengikuti sesi webinar di bilik gerakan

 

Klik media di bawah untuk tonton video rakaman:

 

Klik media di bawah untuk dapatkan slaid penceramah:

Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 29/06/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (01:49:14pm-01:54:14pm, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]