Pakar Veterinar Thailand Kongsi Kepakaran Dalam Seminar Pengurusan Parasit Haiwan Kecil Di UPM | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Pakar Veterinar Thailand Kongsi Kepakaran dalam Seminar Pengurusan Parasit Haiwan Kecil di UPM

Pakar Veterinar Thailand Kongsi Kepakaran dalam Seminar Pengurusan Parasit Haiwan Kecil di UPM

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 21 Mei – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan “A Seminar on Responsible Parasite Prescription, Prevention Programs and Resistance Issues in Dogs and Cats” pada 20 Mei 2026 bertempat di Bilik Jemaah, FPV, UPM. Seminar ini dianjurkan sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan parasit haiwan secara bertanggungjawab dan berteraskan konsep One Health.

 

Penganjuran seminar ini memberi fokus terhadap kepentingan pemilihan serta pencegahan antiparasit yang tepat dalam haiwan peliharaan, khususnya anjing dan kucing. Penekanan diberikan terhadap ancaman zoonotik akibat jangkitan parasit yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, selain memberi kesan terhadap kesejahteraan haiwan dan kelestarian kehidupan sejagat.

 

Program ini melibatkan penyertaan seramai 45 orang peserta daripada FPV, dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Peserta terdiri daripada pegawai akademik, Pegawai Veterinar, Penolong Pegawai Veterinar, Pembantu Veterinar serta pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan ubat dan perkhidmatan veterinar.

 

Pengisian seminar merangkumi perkongsian berkaitan amalan preskripsi antiparasit yang bertanggungjawab, program pencegahan parasit secara sistematik serta isu kerintangan antiparasit di peringkat global. Seminar turut menekankan bahawa peningkatan kerintangan antiparasit boleh mengganggu kawalan penyakit zoonotik dan memberi implikasi kepada kesihatan awam. Perkongsian disampaikan oleh Dr. Duangkhamol Suraruangchai daripada MSD Animal Health berdasarkan perkembangan klinikal dan cabaran semasa dalam bidang veterinar.

 

Melalui penganjuran seminar ini, UVH terus komited memperkukuh peranannya sebagai hospital pengajaran dan pusat rujukan klinikal dengan menekankan amalan veterinar yang selamat, beretika dan berasaskan ilmu semasa, sekali gus menyokong kesejahteraan haiwan, manusia dan alam sekitar secara menyeluruh.

 

Perkongsian ilmu bersama pakar veterinar Thailand

 

Peserta mengikuti seminar pengurusan parasit haiwan

 

Peserta meneliti isu kerintangan antiparasit global

Tarikh Input: 21/05/2026 | Kemaskini: 21/05/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (02:07:23pm-02:12:23pm, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]