Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 27 April - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Kebajikan Haiwan@VET, UPM Siri 4/2026 bertajuk “Keselamatan Kesihatan untuk Semua melalui Pendekatan One Health”. Program ini merupakan kesinambungan inisiatif pendidikan berterusan yang menekankan hubungan saling berkait antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh serta keselamatan makanan.
Webinar ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan penternakan beretika dan peranannya dalam mencegah risiko penyakit, khususnya zoonosis dan rintangan antimikrobial (AMR). Penceramah, YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahman Omar dari FPV UPM, menjelaskan bahawa pendekatan One Health memerlukan kerjasama multisektoral dan transdisiplin bagi menangani ancaman kesihatan secara holistik, memandangkan sebahagian besar penyakit berjangkit berpunca daripada interaksi antara manusia dan haiwan.
Perbincangan turut menghuraikan faktor pencetus kemunculan penyakit seperti perubahan penggunaan tanah, penternakan intensif yang tidak mampan, perdagangan haiwan liar serta perubahan iklim. Peserta didedahkan kepada bagaimana limpahan patogen (spillover) boleh berlaku akibat interaksi rapat antara manusia, haiwan domestik dan hidupan liar, sekali gus meningkatkan risiko pandemik pada masa hadapan sekiranya aspek biosekuriti dan kebajikan haiwan dan pemuliharaan alam sekitar tidak diberi perhatian.
Selain itu, webinar ini menekankan kepentingan tadbir urus dan dasar dalam pelaksanaan pendekatan One Health di Malaysia. Perkongsian merangkumi pengalaman negara dalam mengurus wabak seperti Nipah, HPAI H5N1 dan rabies, yang memperlihatkan keperluan kerjasama erat antara sektor kesihatan manusia, veterinar dan alam sekitar dalam menangani isu kesihatan awam secara bersepadu.
Secara keseluruhan, program ini menggariskan bahawa pendekatan One Health perlu diterjemahkan daripada konsep kepada tindakan melalui kerjasama semua pihak termasuk pengusaha ternakan, pembuat dasar dan komuniti. Penganjuran webinar ini diharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat serta menggalakkan amalan penternakan yang lebih beretika, mampan dan selamat demi menjamin kesejahteraan haiwan, manusia dan alam sekitar.

Pengenalan biodata penceramah oleh moderator

Perkongsian penceramah sedang berlangsung

Gambar kenangan bersama para peserta
Klik media di bawah untuk tonton video rakaman:
Klik media di bawah untuk dapatkan slaid penceramah:
Tarikh Input: 27/04/2026 | Kemaskini: 29/06/2026 | zafarul
