Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 19 Februari – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan "Seminar on Elevating Pet Nutrition: Exploring Prescription Diets" sebagai usaha memperkukuh kefahaman staf terhadap kepentingan nutrisi terapeutik dalam pengurusan klinikal veterinar. Seminar ini berlangsung pada 13 Februari 2026 di Dewan Kuliah Veterinar A (DKV A), FPV.
Penganjuran seminar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif latihan berterusan UVH dalam meningkatkan kompetensi profesional warga hospital. Selain rawatan klinikal dan perubatan, nutrisi yang tepat dan bersesuaian memainkan peranan penting dalam menyokong proses pemulihan, meningkatkan keberkesanan rawatan serta memastikan kesejahteraan pesakit haiwan secara menyeluruh.
Seminar ini melibatkan penyertaan seramai 45 orang staf yang terdiri daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional serta kumpulan Pelaksana. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam mempertingkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran selaras dengan keperluan amalan veterinar semasa.
Perkongsian telah disampaikan oleh Dr. Kristen Lim Cheng Im daripada Rhone Ma Malaysia Sdn. Bhd. yang menghuraikan kepentingan nutrisi terapeutik dalam pengurusan kes klinikal berdasarkan jenis penyakit dan keperluan khusus pesakit. Sesi turut memberi penekanan terhadap kaedah serta teknik pemberian makanan yang sesuai bagi menyokong rawatan dan mempercepat proses pemulihan.
Penganjuran ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri, Rhone Ma Malaysia Sdn. Bhd., dalam menyokong pembangunan profesional serta pengukuhan amalan klinikal di UVH.
Melalui seminar ini, UVH terus memperkukuh peranannya sebagai hospital pengajaran yang komited terhadap amalan berasaskan ilmu, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan veterinar secara berterusan.

Penceramah memperkenalkan produk syarikat Rhone Ma Malaysia

Para peserta tekun mendengar perkongsian yang disampaikan sepanjang seminar

Peserta mencari maklumat dalam buku sebagai persediaan untuk sesi soal jawab
Tarikh Input: 19/02/2026 | Kemaskini: 19/02/2026 | zafarul
