Melonjak Standard Amalan Haiwan Kesayangan Ke Tahap Lebih Tinggi | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » Melonjak Standard Amalan Haiwan Kesayangan Ke Tahap Lebih Tinggi

Melonjak Standard Amalan Haiwan Kesayangan Ke Tahap Lebih Tinggi

Berita oleh :  Dr Wan Mastura Shaik Mohamed Mossadeq

Profesor Madya Dr. Gayathri Thevi Selvarajah (dua dari kanan) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia Dato’ Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam (empat dari kiri) dan Presiden MSAVA Dr. Gopinathan Gangadharan (empat dari kanan) di Persidangan Saintifik Kebangsaan MSAVA 2019 di Kuala Lumpur, bulan lepas.

KUALA LUMPUR: Standard amalan haiwan kesayangan di Malaysia terutamanya dalam bidang perubatan veterinar jitu, pembedahan dan kebajikan dijangka akan meningkat ke tahap yang lebih baik sejajar dengan penyepaduan teknologi baru dan peningkatan standard dalam diagnosis.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan Saintifik Kebangsaan 2019 Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA), Profesor Madya Dr. Gayathri Thevi Selvarajah berkata adalah penting bagi veterinawan semasa dan masa hadapan dilengkapi dengan pengetahuan berkenaan kemajuan teknologi terkini dalam bidang amalan haiwan kesayangan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pesakit.

"Penggabungan teknik canggih dalam genetik perubatan dan teknologi baru yang bertujuan untuk meminimumkan prosedur invasif dengan amalan terkini secara kolektif dijangka dapat meningkatkan standard profesion ke tahap yang lebih baik.

"Kami berharap dengan pendidikan berterusan yang berkualiti tinggi dan penyebaran maklumat terkini mengenai trend semasa dalam amalan klinikal dan penyelidikan dalam haiwan kesayangan terutamanya anjing, kucing dan spesies haiwan eksotik akan membantu veterinawan mencapai matlamat ini," katanya di sini, bulan lepas.

Lebih 200 pengamal haiwan kesayangan, mahasiswa veterinar dan wakil industri dari seluruh negara menghadiri acara tahunan yang bertujuan untuk menggalakkan perkongsian maklumat di antara peserta dan penceramah antarabangsa terkemuka berkenaan pelbagai topik dalam bidang amalan haiwan kesayangan di samping membuka ruang kerjasama dengan pemegang taruh industri tersebut.

Acara itu turut menampilkan seminar sitologi diagnostik dan bengkel sitologi digital yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Dalam acara yang sama, Dr. Khanmani Apuanandam, siswazah Sarjana Perubatan Veterinar dari Fakulti Perubatan Veterinar UPM telah dianugerahkan MSAVA 2019 Best Oral Presentation Award untuk persembahannya yang bertajuk Molecular Detection of a Novel Hepadnavirus in Malaysian Domestic Cats. Anugerah yang merangkumi trofi, sijil dan hadiah wang tunai bernilai RM300 telah disampaikan oleh Dr. Gopinathan Gangadharan, Presiden MSAVA.

 

Presiden MSAVA Dr. Gopinathan Gangadharan (kanan) bersama Dr. Khanmani Apuanandam, pemenang MSAVA 2019 Best Oral Presentation Award

Tarikh Input: 29/07/2019 | Kemaskini: 31/07/2019 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEUMAK~