Warga FPV UPM bergambar kenangan sempena Sambutan Mega Raya Aidilfitri 2025 & Hari UPM ke-100.
Majlis Mega Raya Aidilfitri 2025 dan Hari Warga FPV Meriah, Eratkan Perpaduan Warga Fakulti
Oleh Hannah Yasmin binti Adam | hannahyasmin@upm.edu.my
Serdang, 24 April – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Majlis Mega Raya Aidilfitri 2025 dan Hari Warga yang berlangsung penuh meriah dan bermakna di perkarangan fakulti.
Majlis yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Goh Yong Meng, Dekan FPV, berjaya menghimpunkan lebih 300 warga fakulti, pesara serta pelajar daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Kehadiran yang pelbagai ini jelas mencerminkan semangat perpaduan serta suasana muhibah dalam kalangan komuniti FPV.
Penganjuran majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan UPM yang dilaksanakan mengikut pusat tanggungjawab masing-masing. Di FPV, acara ini telah dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Veterinar (KSRV) dengan kerjasama jawatankuasa khas fakulti.
Antara objektif utama majlis adalah untuk memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan dan meningkatkan kerja berpasukan dalam kalangan staf serta pelajar. Tetamu disajikan dengan pelbagai juadah tradisional seperti soto, nasi beriani kambing, rendang ayam, lemang, ketupat dan pelbagai jenis kuih-muih yang ditaja oleh ahli pengurusan, KSRV serta warga fakulti.
Suasana perayaan turut diserikan dengan dekorasi bertemakan Hari Raya Aidilfitri yang menghiasi ruang legar fakulti, hasil kreativiti Jawatankuasa Hiasan dan Persiapan Dewan. Dekorasi berunsurkan nostalgia kampung itu menarik perhatian para tetamu yang hadir.
Kemuncak majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi kategori Pakaian Termanis dan Pakaian Tersegak, sebagai penghargaan kepada staf yang tampil bergaya mengikut tema.
Penganjuran Majlis Mega Raya 2025 dan Hari Warga ini membuktikan komitmen UPM dalam menyemarakkan nilai perpaduan dan keharmonian menerusi pendekatan mesra komuniti dalam ekosistem akademik yang inklusif.
Tarikh Input: 25/04/2025 | Kemaskini: 25/04/2025 | m_nazmi
