Majlis Ikrar Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar Kali Ke-45 | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » Majlis Ikrar Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar Kali Ke-45

Majlis Ikrar Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar Kali Ke-45

26 November 2022 – Majlis Ikrar Graduan Doktor Perubatan Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar kali ke-45 telah diadakan di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis dihadiri oleh Yang Berusaha Dr. Akma Ngah Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar merangkap Presiden dan Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia, YBhg. Prof. Dr Abdul Rahman Omar, Dekan FPV, timbalan-timbalan dekan, ketua-ketua jabatan, pensyarah-pensyarah, ibu bapa pelajar dan graduan Doktor Perubatan Veterinar sesi 2021/2022.
 
Bacaan Ikrar Graduan Doktor Perubatan Veterinar telah diketuai oleh Dr. Muhammad Firdaus Aiman Abd Razak yang merupakan antara 107 orang graduan Doktor Perubatan Veterinar yang telah bergraduat pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UPM kali ke-46. Pembacaan Ikrar Veterinar Graduan Doktor Perubatan Veterinar, FPV, UPM telah disempurnakan dihadapan Yang Berusaha Dr Akma Ngah Hamid, Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia.
 
Profesion Veterinar di Malaysia dikawal dan diatur oleh Majlis Veterinar Malaysia yang diwujudkan di bawah Akta Doktor Perubatan Veterinar seperti yang telah termaktub di Parlimen dan diperkenankan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 30 Julai 1974. Oleh hal yang demikian, setiap graduan Doktor Perubatan Veterinar yang diiktiraf oleh Majlis Veterinar Malaysia adalah diwajibkan mendaftar dengan Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia dan seterusnya melafazkan Ikrar Veterinar sebelum diterima ke dalam Ikhtisas Kedoktoran Veterinar seperti yang ditetapkan di dalam Akta Doktor Perubatan Veterinar 1974, Bahagian III, Seksyen II(3)(a) dan (3)(b).
 
Pada sesi 2021/2022, seramai 107 orang graduan Doktor Perubatan Veterinar akan berikrar dan seterusnya mendaftar sebagai seorang veterinawan di dalam Majlis Veterinar Malaysia. Majlis ini selaras dengan usahasama di antara Majlis Veterinar Malaysia dan Fakulti Perubatan Veterinar UPM di dalam memartabatkan profesion veterinar dan seterusnya melahirkan pengamal veterinar yang sentiasa beretika dan berwawasan selaras dengan arus pembangunan negara.
 
Fakulti Perubatan Veterinar UPM mengucapkan sekalung tahniah kepada para graduan Doktor Perubatan Veterinar sesi 2021/2022 yang telah bergraduat dan telah melafazkan ikrar Veterinar di hadapan Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia. Warga fakulti juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah fakulti, para tetamu dan ibu bapa yang hadir untuk memeriahkan majlis ini.

Tarikh Input: 05/01/2023 | Kemaskini: 05/01/2023 | m_nazmi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEUEAW~