Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 9 April – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan “Kursus Pengendalian Komunikasi Pelanggan” sebagai salah satu latihan dalaman bulanan UVH bagi April 2026 dalam usaha memperkukuh kemahiran komunikasi staf dalam penyampaian perkhidmatan yang profesional dan mesra pelanggan.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada staf berkaitan teknik komunikasi yang berkesan ketika berinteraksi dengan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pemilik haiwan peliharaan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri. Penekanan turut diberikan kepada penggunaan bahasa yang sopan, jelas dan berhemah bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan tepat serta meningkatkan pengalaman perkhidmatan pelanggan.
Selain itu, kursus ini juga menekankan kepentingan komunikasi atas talian, khususnya melalui platform seperti WhatsApp yang kini menjadi medium utama interaksi pelanggan. Berdasarkan kandungan pembentangan, aspek seperti responsif, penggunaan bahasa profesional, ketepatan maklumat serta pendekatan mesra pelanggan merupakan elemen penting dalam membentuk imej organisasi dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.
Kursus ini dikendalikan oleh Dr. Sharifah Sofiah binti Syed Zainudin, Pensyarah Kanan dari Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM yang berkongsi panduan praktikal merangkumi etika komunikasi, kesalahan lazim dalam interaksi pelanggan serta teknik pengendalian situasi pelanggan termasuk pelanggan yang beremosi.
Program ini melibatkan penyertaan daripada pelbagai kumpulan perjawatan, yang berperanan sebagai barisan hadapan hospital. Penganjuran kursus ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh budaya perkhidmatan yang berkualiti, sekali gus meningkatkan imej UVH sebagai pusat perkhidmatan veterinar yang profesional dan berorientasikan pelanggan.

Fokus terhadap penerangan penceramah kursus komunikasi

Sesi interaksi langsung antara penceramah dan hadirin

Perkongsian pengalaman semasa sesi perbincangan terbuka
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | zafarul
