Kucing Jiran Berak Di Rumah Anda? Fahami Hak, Tindakan Dan Saluran Aduan | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR vet
» BERITA » Kucing Jiran Berak di Rumah Anda? Fahami Hak, Tindakan dan Saluran Aduan

Kucing Jiran Berak di Rumah Anda? Fahami Hak, Tindakan dan Saluran Aduan

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 2 April – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Kebajikan Haiwan@VET, UPM Siri 3/2026 bertajuk “Kucing Jiran Berak di Rumah Anda: Apa Anda Boleh Buat?” pada 31 Mac 2026. Webinar ini merupakan kesinambungan usaha pendidikan komuniti yang memberi penekanan kepada kefahaman undang-undang serta pendekatan berhemah dalam menangani konflik kejiranan melibatkan haiwan peliharaan.

 

Program ini bertujuan memberi panduan kepada masyarakat tentang saluran yang betul dalam mengurus isu kacau ganggu haiwan, khususnya melibatkan kucing peliharaan dan kucing terbiar. Peserta didedahkan kepada definisi “kacau ganggu” yang merangkumi gangguan seperti bau busuk, kekotoran dan ketidakselesaan kepada jiran, di samping memahami peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

 

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Pn. Farah Shahana Ramli, Ketua Penolong Pengarah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Dr. Siti Suhailah Mohd Maarof, Pegawai Veterinar, Majlis Bandaraya Subang Jaya. Program ini dikendalikan oleh Dr. Syamira Syazuana Zaini, Pensyarah Kanan, FPV UPM, selaku moderator. Perbincangan menekankan bahawa isu ini sering berpunca daripada kucing terbiar yang tidak terkawal, pemilik yang melepaskan kucing tanpa pengawasan serta pemberian makanan tanpa pengurusan yang baik.

 

Kupasan turut menjelaskan bahawa pendekatan penyelesaian bergantung kepada status kucing sama ada mempunyai pemilik atau tidak. Jika mempunyai pemilik, tindakan awal melibatkan nasihat dan bimbingan kepada pemilik sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sekiranya gangguan berterusan. Bagi kucing yang tidak mempunyai pemilik, orang awam disarankan membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan supaya siasatan dan tindakan dapat diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.

 

Webinar ini turut menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh mengambil tindakan sendiri seperti mencederakan, meracun atau melupuskan haiwan kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab serta memperkukuh kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa dalam memastikan keseimbangan antara kebajikan haiwan, kesihatan awam dan keharmonian kejiranan.

 

Perbincangan lanjut mengenai topik yang dibentangkan sepanjang webinar berlangsung

 

Pengumpulan dan penelitian soalan daripada para peserta

 

Sesi bergambar bersama para peserta sebagai kenang-kenangan program

 

Klik media di bawah untuk tonton video rakaman:

 

Klik media di bawah untuk dapatkan slaid penceramah:

 

Tarikh Input: 02/04/2026 | Kemaskini: 02/04/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
W, (09:25:59am-09:30:59am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]