Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 6 April – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan veterinar akademik apabila menerima sumbangan peralatan pemantauan glukosa daripada i-SENS Biosensors Malaysia Sdn. Bhd. dalam satu inisiatif kolaborasi industri-akademik yang menyokong kebajikan haiwan serta peningkatan kualiti perkhidmatan klinikal.
Sumbangan yang diterima merangkumi 10 unit sistem pemantauan glukosa VetMate®️ yang digunakan bagi tujuan pemantauan paras glukosa darah haiwan, khususnya kucing dan anjing. Peralatan ini dianggarkan bernilai keseluruhan RM1,050.00 dan dijangka memberi manfaat kepada pesakit veterinar yang memerlukan pemantauan rapi serta menyokong usaha rawatan yang lebih efisien dan tepat .
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) i-SENS Biosensors Malaysia Sdn. Bhd. yang bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara industri dan institusi akademik, di samping menyokong aktiviti klinikal dan penjagaan komuniti yang dijalankan oleh fakulti .
Pihak pengurusan UVH menyambut baik sumbangan ini dan menzahirkan penghargaan atas komitmen yang diberikan oleh i-SENS dalam menyokong pembangunan perkhidmatan veterinar. Sumbangan ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha berterusan UVH dalam menyediakan perkhidmatan rawatan yang berkualiti, selain menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.
Kerjasama strategik ini turut mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kolaborasi yang lebih luas pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pemindahan ilmu, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam sektor veterinar.

Pihak UVH menyampaikan token penghargaan kepada wakil syarikat

Perbincangan dua hala untuk kerjasama strategik akan datang

Simbolik sumbangan yang diberikan
Tarikh Input: 06/04/2026 | Kemaskini: 06/04/2026 | zafarul
