Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 2 Mac – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Kebajikan Haiwan@VET, UPM Siri 2/2026 bertajuk “Kenapa Kucing Saya Tak Mahu Makan? Adakah Ia Sakit atau Merajuk?” pada 27 Februari 2026. Webinar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan berterusan yang memberi fokus kepada peningkatan literasi kesihatan haiwan dalam kalangan komuniti serta membantu pemilik membuat keputusan yang lebih tepat berkaitan penjagaan kucing.
Program ini bertujuan membantu pemilik mengenal pasti punca perubahan selera makan kucing sama ada berkaitan faktor tingkah laku, tekanan persekitaran atau masalah kesihatan. Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Dr. Siti Sarah binti Ismail, Pegawai Veterinar UVH, yang menjelaskan bahawa kucing jarang merajuk tanpa sebab fizikal. Antara perkara penting yang perlu dinilai ialah tempoh kucing tidak makan, sama ada masih minum air, tahap keaktifan serta kewujudan gejala lain seperti muntah, cirit-birit dan kelesuan.
Webinar ini telah dikendalikan oleh En. Muhammad Syahir bin Zainal Abidin, Penolong Pegawai Veterinar UVH, selaku moderator yang memastikan sesi berlangsung lancar dan interaktif. Perbincangan turut menghuraikan faktor stres seperti pertukaran makanan secara mendadak, perubahan lokasi rumah, kehadiran haiwan baharu, perubahan rutin harian pemilik serta penempatan sementara di pusat jagaan yang boleh menyebabkan kucing enggan makan walaupun tidak sakit.
Tanda kemungkinan kucing mengalami masalah kesihatan termasuk cepat lesu, bersembunyi terlalu lama, nafas laju, bau mulut yang kuat, air liur meleleh, muntah berulang, cirit-birit, kekuningan pada mata atau gusi, penurunan berat badan mendadak serta kesukaran membuang air kecil. Peserta turut didedahkan kepada kaedah pemerhatian ekspresi wajah dan postur kucing bagi membantu menilai tahap kesakitan secara awal, selain memahami punca lazim seperti masalah gigi dan gusi, jangkitan virus, sakit buah pinggang, diabetes dan keracunan.
Webinar ini turut memberikan panduan langkah awal yang boleh dilakukan di rumah seperti memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi, menyediakan makanan basah yang lebih berbau kuat, menukar lokasi tempat makan ke kawasan yang lebih tenang serta memantau corak kencing dan pembuangan najis. Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan pemilik terhadap perubahan tingkah laku haiwan kesayangan agar tindakan susulan dapat diambil dengan lebih cepat dan tepat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan kucing secara menyeluruh.

Di sebalik tabir sebelum webinar bermula

Barisan ahli jawatankuasa terlibat
Klik media di bawah untuk tonton video rakaman:
Tarikh Input: 02/03/2026 | Kemaskini: 03/03/2026 | zafarul
