SERDANG, 15 Julai – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar dan Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, dengan kerjasama Medical Plus NM (M) Sdn. Bhd., telah menganjurkan Feline and Canine Dentistry Workshop 2025 selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Julai lalu, bertempat di Bilik Jemaah dan Bilik Surgeri Pelajar, FPV UPM.
Bengkel ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengamal veterinar dalam aspek pergigian haiwan kesayangan, meliputi aspek pemeriksaan oral, teknik radiografi, penggunaan anestesia lokal, cabutan gigi, serta rawatan kecederaan rahang.
Melalui gabungan sesi teori dan praktikal, bengkel ini memberi pendedahan komprehensif kepada peserta dalam pengurusan kes-kes pergigian bagi kucing dan anjing.
Bengkel ini menampilkan dua pakar pergigian veterinar antarabangsa, iaitu Dr. Cedric Tutt dari Cape Animal Dentistry Service, Afrika Selatan, dan Dr. Philippe Roux dari Dentovet Sàrl, Switzerland, yang berkongsi kepakaran mereka menerusi syarahan dan demonstrasi klinikal secara langsung.
Antara topik yang diketengahkan sepanjang bengkel termasuk teknik pemeriksaan oral dan carta gigi, penggunaan tomografi berkomputer (CT) dalam pergigian veterinar, serta kaedah penstabilan rahang patah. Sesi praktikal memberi peluang kepada peserta untuk melaksanakan sendiri pelbagai prosedur klinikal penting, sekali gus memperkukuh kemahiran sedia ada.
Seramai 30 peserta terdiri daripada pengamal veterinar tempatan telah menyertai bengkel ini. Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen bereterusan FPV UPM dan rakan industri dalam memperkasa profesion veterinar melalui latihan berterusan yang berfokus dan berkualiti tinggi, selaras dengan perkembangan terkini bidang pergigian haiwan kesayangan.


Tarikh Input: 15/07/2025 | Kemaskini: 15/07/2025 | zafarul
