Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 6 Februari – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Seminar Asas Pengurusan dan Latihan Kuda Endurance bertempat di Nanostix Flagship, Kuala Lumpur. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Neo Enduro Equestrian Team sebagai usaha memperkukuh pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang pengurusan serta latihan kuda bagi sukan endurance.
Seminar ini menghimpunkan seramai 15 peserta yang terdiri daripada pemilik kuda, penunggang dan jurulatih daripada Neo Enduro Equestrian Team. Penganjuran program ini berperanan sebagai platform pemindahan ilmu yang tersusun dan berfokus, khususnya dalam aspek persediaan sebelum, semasa dan selepas pertandingan endurance.
Pengisian program merangkumi tiga sesi utama iaitu Asas Pengurusan Kuda, Undang-undang dan Peraturan Endurance serta Prinsip Asas dalam Melatih Kuda Endurance. Kesemua sesi ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta berkaitan pengurusan fizikal, mental dan teknikal kuda, selaras dengan peraturan serta garis panduan sukan endurance yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Sesi-sesi perkongsian telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman dalam bidang perubatan veterinar dan sukan ekuin, iaitu Prof. Madya Dr. Noraniza binti Mohd Adzahan, Dr. Noorashimah binti Roslim dan Dr. Syahirah binti Ahmad Affandi. Perkongsian kepakaran ini turut disokong dengan sesi soal jawab bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap topik yang dibincangkan.
Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen FPV melalui UVH dalam menyokong pembangunan sukan endurance negara serta memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri ekuin. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan standard penjagaan, kebajikan dan prestasi kuda, di samping mengangkat peranan UPM sebagai pusat rujukan dalam bidang perubatan veterinar dan sukan ekuin di Malaysia.

Dr. Noraniza menerangkan kaedah asas untuk melatih kuda endurance.

Dr. Noorashimah menerangkan skor keadaan tubuh yang sesuai untuk kuda endurance.

Dr. Syahirah menerangkan Kod Etika FEI untuk kebajikan kuda.
Tarikh Input: 06/02/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | zafarul
