Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 12 Mei – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program “Meet & Talk UVH Siri 2/2026” sebagai medium komunikasi dalaman bagi memperkukuh perkongsian amanat pengurusan serta hala tuju semasa hospital kepada seluruh warga UVH. Program ini turut menjadi platform mempererat hubungan profesional antara pihak pengurusan fakulti dengan warga UVH.
Meet & Talk UVH merupakan pendekatan berkala yang memberi ruang kepada warga UVH untuk mendapatkan penerangan berkaitan prestasi, cabaran dan perancangan strategik hospital. Melalui pendekatan ini, setiap warga UVH dapat memahami peranan masing-masing dalam memastikan penyampaian perkhidmatan veterinar dilaksanakan secara lebih cekap, tersusun dan berkualiti selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia.
Antara pengisian utama program ialah amanat Timbalan Dekan Hospital (TDH) baharu, Prof. Madya Dr. Mohd Hezmee Mohd Noor yang menekankan kepentingan kestabilan organisasi, pengukuhan sistem kerja serta pembinaan budaya kerja profesional dalam kalangan warga UVH. Dalam amanat tersebut, beliau memaklumkan bahawa UVH merekodkan peningkatan hasil hospital sebanyak 20 peratus dan peningkatan lebihan operasi sebanyak 60 peratus, sekali gus membuktikan potensi besar UVH untuk terus berkembang sebagai hospital veterinar rujukan negara.
Selain itu, beliau turut menggariskan empat kerangka fokus utama (The 4 Pillars) sebagai asas pentadbiran beliau bagi membentuk kestabilan pasukan iaitu mempertahankan identiti berwibawa UVH, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan sumber serta menjaga kebajikan staf. Warga UVH turut diseru agar meninggalkan budaya kerja secara silo dan mengamalkan pendekatan kerja berpasukan yang lebih proaktif demi memastikan kelancaran operasi hospital.
Dalam tempoh lantikan beliau, tumpuan diberikan untuk mengemaskan sistem dan proses sedia ada termasuk meneruskan dan menguatkan lagi fungsi yang telah terbukti berkesan dan memacu momentum untuk terus bergerak ke arah yang betul. Tambah beliau “Dalam tempoh yang singkat ini, saya tidak menjanjikan untuk menyelesaikan semua masalah dengan sekelip mata, tiada tongkat sakti, apa yang lebih utama adalah untuk meninggalkan asas yang lebih kemas untuk kesinambungan masa depan”.
Program ini turut diserikan dengan simbolik penyerahan tugas TDH sebagai lambang kesinambungan kepimpinan dan komitmen pengurusan dalam meneruskan kecemerlangan UVH. Turut berlangsung ialah penyampaian penghargaan kepada mantan TDH, Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan serta Puan Munirah Abdul Rahman, Penolong Pegawai Veterinar Kanan atas jasa dan sumbangan mereka kepada UVH sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di UVH.

Simbolik penyerahan tugas TDH

Penyampaian penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan

Penyampaian penghargaan kepada Puan Munirah Abdul Rahman
Tarikh Input: 12/05/2026 | Kemaskini: 12/05/2026 | zafarul
